BULAN ini, Parlimen akan menerima laporan tentang pelantikan ketua empat agensi kerajaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam William Leong.
Ia melibatkan pelantikan ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ketua polis negara (KPN) dan ketua hakim negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dipanggil jawatankuasa pada Jun lepas untuk ditanya antara lain tentang visi, misi dan hala tuju pengurusannya.
Ia berlaku selepas pelantikan Latheefa dibuat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengundang kecaman banyak pihak kerana ia dilakukan tanpa rundingan dengan Kabinet atau jawatankuasa.
Leong selepas pertemuan itu berkata satu laporan mengenai pertemuan itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat.
Selepas itu, Dr Mahathir berkata pelantikan ketua SPR dan ahlinya, ketua SPRM, dan ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan melalui jawatankuasa Parlimen.
Ditanya sama ada tiga lagi ketua yang dilantik akan dipanggil menghadap seperti mana Latheefa, Leong berkata jawatankuasa sudahpun berhubungan dengan agensi terlibat.
“Kami sudah berbincang dengan kebanyakan mereka, jadi sekarang kami dalam proses menyiapkan laporan. Kami harap dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi laporan akan dapat dibentangkan di Parlimen,” kata Leong kepada The Malaysian Insight.
Tambahnya, buat masa sekarang, kerajaan membenarkan jawatankuasa meneliti pelantikan empat jawatan itu sahaja tetapi ia akan ditambah pada masa hadapan.
Leong sebelum ini berusaha bertemu dengan Dr Mahathir bagi mendapatkan penjelasan tentang bidang kuasa jawatankuasa itu dalam proses pelantikan pegawai kanan kerajaan.
Dr Mahathir membuat keputusan membenarkan mereka meneliti pelantikan empat jawatan utama itu dan kebenaran itu sudah disampaikan kepada jawatankuasa. – 12 November, 2019.
Komen