Jawatankuasa Parlimen tak tahu lantikan Latheefa, kata pengerusi


Pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua agensi anti rasuah tidak dibuat melalui Jawatankuasa Pilihan Khas untuk melantik jawatan utama perkhidmatan awam, kata Pengerusinya William Leong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2019.

PELANTIKAN peguam Latheefa Koya sebagai ketua agensi anti rasuah tidak dibuat melalui Jawatankuasa Pilihan Khas untuk melantik jawatan utama perkhidmatan awam, kata Pengerusinya William Leong.

Ahli Parlimen Selayang itu berkata, beliau terkejut dengan berita pelantikan Latheefa sebagai ketua pesuruhjaya Surusuhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru, menggantikan Mohd Shukri Abdull yang memendekkan tempoh jawatannya.

Kata Leong, pelantikan Latheefa tidak sejajar dengan manifesto Pakatan Harapan iaitu lantikan yang bebas politik.

“Tidak ada, pelantikannya tidak  melalui jawatankuasa, jadi kami terperanjat.

“Dalam manifesto, reformasi yang dijanjikan ialah semua pelantikan ke institusi utama harus bebas daripada politik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Latheefa adalah bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR pada penggal yang lalu. Beliau juga dikenali sebagai peguam yang banyak membuat kerja untuk hak asasi manusia melalui pertubuhan Lawyers for Liberty.

Leong yang juga ahli PKR berkata, beliau akan memanggil satu mesyuarat jawatankuasa selepas cuti hari raya walaupun pelantikan Latheefa sudah disahkan.

“Kami akan bertemu untuk berbincang hal ini sebab salah satu janji dalam manifesto PH ialah pelantikan ke jawatan seumpama itu bukan dalam kalangan ahli parti politik.”

Leong menjelaskan bukan urusan beliau untuk beritahu Latheefa sama ada perlu atau tidak peguam itu keluar parti.

“Dari sudut pandang kerajaan, kerajaan sepatutnya melantik seseorang yang bebas dari politik,” katanya.

Jawatankuasa Pilihan Khas itu adalah salah satu daripada enam jawatankuasa pemilih dibentuk kerajaan PH tahun lepas, dalam usaha mereka merombak dan memulihkan Parlimen.

Peranan jawatankuasa itu dinyatakan dalam manifesto pilihan raya PH. Janji 16 menyatakan pengembalian maruah Parlimen yang menyebut tentang pelantikan jawatan utama institusi utama negara termasuklah SPRM.

Manifesto itu juga menyebut tentang pembaharuan yang ingin dibuat PH kepada SPRM, seperti disebut dalam Janji 14 bahawa pelantikan pesuruhjayanya perlu “disahkan secara demokratik oleh Parlimen”.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah walaupun mengucapkan tahniah kepada Latheefa juga menimbulkan persoalan sama ada pelantikan itu dibuat menerusi Parlimen.

“Pertama sekali, saya mahu bertanya sama ada pelantikannya dibuat menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas untuk melantik jawatan utama perkhidmatan awam.

“Jawatankuasa ini dibentuk untuk pelantikan sebegini bagi memastikan wujud ketelusan lebih baik apabila soal pelantikan jawatan utama.

“Keduanya, saya menyatakan yang (pendirian) Pakatan Harapan sudah jelas dalam manifestonya yang ia menentang lantikan politik. Jika Latheefa masih ahli PKR, beliau perlu meletak jawatan daripada parti kerana saya percaya beliau akan menjalankan tugas ketua baharu SPRM dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan. – 4 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen