Latheefa dilantik ketua pesuruhjaya SPRM


Latheefa menggantikan Mohd Shukri bin Abdull yang meminta kontraknya dipendekkan daripada tempoh penuh, ia sepatutnya berakhir pada 17 Mei 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2019.

PEGUAM hak asasi manusia terkenal Latheefa Koya dilantik jadi ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini.

Latheefa menggantikan Mohd Shukri bin Abdull yang meminta kontraknya dipendekkan daripada tempoh penuh, ia sepatutnya berakhir pada 17 Mei 2020.

Beliau adalah ketua SPRM wanita pertama dan individu pertama tanpa latar belakang penguatkuasaan dilantik menerajui agensi itu. Latheefa adalah ahli PKR yang dikenali ramai kerana perjuangan hak asasinya. 

Beliau adalah salah seorang peguam di firma Messrs Daim & Gamany dan bergiat aktif dalam politik Selangor dan kebangsaan, serta mewakili kes hak asasi manusia seperti kes tanpa warganegara di mahkamah tertinggi negara.

“Saya sangat terkejut, tetapi sangat gembira dengan pilihan yang dibuat,” kata Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel mengulas pelantikan itu.

“Beliau sangat berani dan orang yang tak ambil mudah! Beliau akan bawa SPRM ke tahap lebih hebat…kualiti terbaik untuk kerja itu.”

Shukri dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM pada 18 Mei tahun lepas. Beliau berkhidmat di SPRM selama 32 tahun sebelum memilih untuk bersara awal pada 31 Julai 2016 dengan jawatannya ketika itu sebagai timbalan ketua pesuruhjaya (operasi).

Kali ini, tiada sebab diberikan untuknya berundur, yang dibuat selaras dengan subseksyen 5 (3) Akta SPRM 2009 (Akta 694).

“Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Mohd Shukri bin Abdull yang telah banyak berjasa kepada negara selama beliau memegang jawatan sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.” – 4 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen