Kerajaan Perak masih kukuh, kata Muhyiddin


Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi yang yakin kerajaan Perak akan jatuh sebelum pilihan raya umum akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2019.

KERAJAAN Perak di bawah Pakatan Harapan masih kukuh dengan empat parti komponen tetap bekerjasama demi memastikan pentadbiran negeri berjalan baik, kata Timbalan Presiden PH Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin membuat penegasan itu selepas tersebar rakaman video menunjukkan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu membayangkan beliau berdepan masalah dengan DAP di negeri itu.

“Ada (perselisihan faham dalam PH), biasalah antara parti seperti dalam komponen PH itu, sedikit sebanyak ada masalah dari segi hubungan, saya tak boleh nafikan.

“(Namun) Mereka tetap mengutamakan kerjasama untuk menentukan supaya kerajaan Perak itu kerajaan yang agak mantap dan stabil kerana kita mempunyai tugas dan amanah yang mesti dilaksanakan untuk memajukan dan membangunkan negeri Perak,” katanya, seperti dipetik Bernama.

Muhyiddin ditemui pemberita di Pontian semasa berkempen dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai hari ini.

Beliau yang juga Presiden Bersatu mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi yang yakin kerajaan Perak akan jatuh sebelum pilihan raya umum akan datang.

“Itu harapan dia (Ahmad Zahid) tetapi saya yakin bahawa kerajaan PH di Perak masih kukuh,” kata Muhyiddin.

Menurut Muhyiddin, beliau yakin Menteri Besar Perak dan rakan-rakan dalam kerajaan daripada komponen PH akan terus menjalin kesefahaman untuk meneruskan agenda kerajaan negeri.

Awal hari ini Zahid berkata kerajaan PH di Perak boleh pecah dan pemimpinnya melompat kepada pembangkang gara-gara kenyataan Faizal dari Bersatu mengenai hubungan beliau dengan DAP, seperti yang tular semalam.

Beliau juga mendakwa Faizal sebagai menteri besar tidak mendapat dukungan wakil rakyat DAP.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, Faizal adalah satu-satunya wakil rakyat Bersatu dalam kerajaan PH Perak, dengan DAP menguasai 18 kerusi, Amanah 6 dan PKR 4. 

Dengan sokongan dua wakil rakyat bekas Umno itu, PH mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan. Seorang daripada wakil rakyat itu kemudian menyertai Bersatu.

PH dengan 30 kerusi di Dewan Undangan Negeri Perak kini menguasai kerajaan negeri dengan kelebihan dua kerusi serta tambahan sokongan seorang wakil rakyat bebas. BN dan PAS mempunyai keseluruhan 28 kerusi.

Dalam rakaman video yang tular semalam, Faizal mendakwa beliau berseorang diri cuba mempertahankan kedudukan Islam dan Melayu di Perak.

“Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini.

“Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita,” katanya dalam rakaman itu, kepada sekumpulan pengundi di Tanjung Piai.

Faizal juga berkata beliau sebenarnya baik dengan pemimpin Umno di Perak, malah tidak duduk bersama menteri PH pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Tanjung Piai sebaliknya bersama ahli dan pemimpin Umno.

Susulan itu, DAP Perak menggesa Faizal meminta maaf kepada Majlis Presiden PH manakala PKR Perak menyifatkan beliau tidak layak jadi menteri besar. https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/195744

Faizal hari ini mengulangi pendirian bahawa rakaman video yang tular semalam diambil di luar konteks dan tidak mencerminkan maksud sebenar. – 9 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen