Isteri hamil tunggu suami mangsa tanah runtuh


Looi Sue-Chern Low Han Shaun

Noraini Rosanti Abdullah dan suaminya, Ali Razak Mohammad Jamil, seorang warga Pakistan baru sahaja mendirikan rumah tangga beberapa bulan lalu. Ali adalah salah seorang pekerja yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Pulau Pinang pagi tadi. Pasangan itu sedang menunggu kelahiran cahaya mata pertama mereka. – Gambar The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2017.

NORAINI Rosanti Abdullah dan suaminya, Ali Razak Mohammad Jamil, seorang warga Pakistan baru sahaja mendirikan rumah tangga beberapa bulan lalu.

Mereka kini sedang menunggu kelahiran cahaya mata pertama. Noraini, 39, sedang hamil dua bulan.

Tetapi sama ada Ali, pekerja pembinaan yang baru sahaja berusia lingkungan 20-an akan dapat menatap wajah anaknya kini menjadi tanda tanya. Dia adalah salah seorang daripada 14 mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah pagi tadi.

Mayat tiga lelaki- dua warga Bangaldesh dan seorang Rohingya- sudah ditemui hari ini, tetapi Ali masih hilang bersama-sama 11 yang lain.

Noraini masih tidak mengetahui nasib suaminya, tetapi dia sudah bersedia berdepan kemungkinan paling buruk, ketika dia setia berdiri menunggu di luar tapak pembinaan yang kini ditutup pihak berkuasa.

“Saya tahu tentang tanah runtuh dan dia antara yang tertanam hidup-hidup pada jam 9 pagi. Ayah saya beritahu. Dia pun kerja di situ.

“Masih tiada berita tentang Ali. Tetapi polis beritahu saya untuk terus tunggu di sini untuk kenal pasti suami saya, jika jumpa dia,” katanya petang tadi.

Operasi mencari dan menyelamat dilakukan pelbagai pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat ditangguhkan malam tadi kerana hari bertambah gelap, tetapi Noraini terus menunggu di depan tapak pembinaan itu, memegang topi keselamatan yang diberikan kepadanya sekiranya dia diperlukan masuk ke dalam tapak pembinaan itu.

“Kami duduk dekat sini sahaja. Dia biasanya balik kerja jam 6.30 petang. Pagi ini, dia pergi kerja seperti biasa, selepas minum kopi.

“Dia tak cakap apa-apa kepada saya. Dia lelaki pendiam. Tiada tanda langsung hari ini yang perkara buruk akan berlaku,” katanya menahan esak.

“Dua minggu lalu dia tiba-tiba tanya apa yang saya akan lakukan jika dia tiada lagi,” kata suri rumah itu.

Ali sudah menetap di Malaysia sejak tiga tahun lepas tetapi baru bekerja di tapak pembinaan itu bulan lepas.

Dia tak sempat merasai gaji pertamanya yang dibayar selepas 45 hari bekerja, kata Noraini.

Pekerja yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh itu termasuk seorang penyelia tapak warga Malaysia sedang menjalankan kerja-kerja penanaman cerucuk untuk mengukuhkan kestabilan cerun sementara tapak pembinaan itu ketika tragedi itu berlaku, kata pemaju.

Pemaju, Taman Sri Bunga Sdn Bhd, sebuah unit BSG Property, syarikat pembangunan utama di Pulau Pinang juga meluahkan “kekesalan mendalam” berhubung kejadian itu.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, syarikat itu berkata yang mereka sudah menubuhkan pasukan siasatan sendiri untuk bekerjasama dan membantu pihak berkuasa.

Ketua Menteri Lim Guan Eng pula mengatakan beliau akan mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan untuk menyiasat punca sebenar tragedi itu dan syor bagaimana kejadian serupa daripada berulang.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang pula mengeluarkan arahan henti kerja serta merta projek pembinaan apartmen 50 tingkat mampu milik itu.

Pihak berkuasa akan kembali menyambung operasi mencari dan menyelamat pada jam 8 pagi esok. – 21 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen