Suruhanjaya Siasatan tanah runtuh akan ditubuhkan


Looi Sue-Chern

14 orang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Pulau Pinang awal hari ini, 3 mayat sudah ditemui dan misi mencari dan menyelamat 11 yang lain masih diteruskan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 Oktober, 2017.

PULAU PINANG akan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan rasmi bagi menyiasat kejadian tanah runtuh di sebuah tapak pembinaan di Lembah Permai, Tanjung Bungah hari ini.

Tragedi itu setakat ini sudah membunuh tiga orang pekerja pembinaan dan misi mencari dan menyelamat masih dijalankan untuk mencari 11 pekerja lain.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata siasatan biasa tidak mencukupi untuk kejadian seburuk itu.

Beliau akan mencadangkan penubuhan suruhanjaya negeri untuk menyiasat kejadian itu pada mesyuarat exco negeri minggu depan

“Ia akan serupa dengan siasatan yang dilaksanakan dalam kejadian Menara Umno dan Jambatan Pulau Pinang Kedua beberapa tahun lalu yang turut mengorbankan beberapa orang.

“Setakat ini, kita hanya boleh berdoa keajaiban kerana misi mencari dan menyelamat masih dilakukan,” katanya kepada wartawan di tempat kejadian, beliau turut menambah yang negeri akan menawarkan apa sahaja bantuan yang diperlukan.

Lim mengatakan pilihan terbaik sekarang adalah membenarkan pakar seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan menyiasat punca sebenar kejadian.

Menurut Lim lagi, daripada 14 mangsa terlibat, seorang adalah rakyat Malaysia.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sudah mengarahkan pemeriksaan ke atas semua tapak pembinaan bagi memastikan keselamatan peralatan dipatuhi dan mengelakkan kejadian serupa, katanya.

Awal hari ini, Datuk Bandar Pulau Pinang Maimunah Mohd Shariff berkata MBPP sudah mengeluarkan arahan pemberhentian keraja di tapak pembinaan itu bagi membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan.

Katanya, kejadian itu adalah kemalangan di tapak kerja.

Tanah runtuh itu berlaku sekitar jam 8.30 pagi di Lorong Lembah Permai 3. Projek pembinaan itu adalah untuk pembinaan 50 buah apartmen mampu milik.

Mayat ketiga warga Myanmar ditemui pada jam 1.20 petang tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang (JBPM), dua mayat yang ditemui awal hari ini adalah warga Bangladesh. Bomba mengatakan terdapat 14 orang yang dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan tanah itu.

Pengarah Bomba Pulau Pinang, Pegawai Pesuruhjaya Saadon Mokhtar mengatakan unit K-9 akan dibawa untuk membantu misi mencari dan menyelamat 11 lagi yang masih hilang.

Ketua Pesuruhjaya Polis Pulau Pinang, Chuah Ghee Lye pula berkata Putrajaya akan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) untuk membantu.

Katanya, polis juga sudah mengubungi kedutaan negara mangsa yang terlibat dalam kejadian itu. – 21 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen