Tanah runtuh Pulau Pinang, pemaju tubuhkan pasukan siasatan sendiri


Looi Sue-Chern

Taman Sri Bunga Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat BSG Property juga meluahkan “kekesalan mendalam” kerana kejadian itu, yang berlaku ketika pekerja sedang melakukan kerja-kerja mengukuhkan kestabilan cerun sementara di tapak projek itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 Oktober, 2017.

TAMAN Sri Bunga Sdn Bhd, pemaju projek apartmen mampu milik di Lembah Permai, Tanjung Bungah, tempat berlakunya tanah runtuh pagi ini yang menimbus 14 mangsa sudah menubuhkan pasukan siasatan sendiri untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Taman Sri Bunga Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat BSG Property juga meluahkan “kekesalan mendalam” kerana kejadian itu, yang berlaku ketika pekerja sedang melakukan kerja-kerja mengukuhkan kestabilan cerun sementara di tapak projek itu.

Pemaju mengatakan di sepanjang masa, syarikat mengambil usaha bersesuaian dan sentiasa bertanggungjawab dalam melaksanakan kerja-kerja selenggara berkala tanah itu.

“Kejadian tiba-tiba itu tidak dijangka. Kami serta merta memberikan tindak balas kepada bencana itu bagi meminimumkan lebih banyak kecederaan berlaku.

“Kami sudah menubuhkan pasukan siasatan kami sendiri untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa.

“Kami memanjangkan ucapan takziah kepada ahli keluarga yang terlibat. Kami sedia membantu dan menjawab semua persoalan mengenai perkara ini,” kata pemaju itu dalam satu kenyataan.

Tanah runtuh itu berlaku pada jam 8.30 pagi hari ini di Lorong Lembah Permai 3, tempat pemaju sedang membina projek apartmen mampu milik 50 tingkat itu.

Daripada 14 pekerja yang tertimbus dalam tanah runtuh itu, seorang adalah rakyat Malaysia. Selebihnya adalah pekerja asing.

Misi mencari dan menyelamat mangsa lain masih dilakukan.

Dalam perkembangan terbaru tengahari tadi, Ketua Polis Pulau Pinang Pesuruhjaya Chuah Ghee Lye berkata kerja-kerja mangorek sudah dihentikan bagi membolehkan empat anjing daripada unit K-9 mengesan mangsa.

Katanya, anggota Pasukan Gerak Am (PGA) juga sedang memeriksa kawasan itu bagi mengesan sekiranya wujud struktur haram. – 21 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen