Ekonomi gig pilihan bekas kakitangan Utusan


Mohd Farhan Darwis

Penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! dihentikan serta-merta pada 9 Oktober lalu selepas syarikat Utusan Melayu menutup operasinya menyebabkan kira-kira 1,500 kakitangan hilang pekerjaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2019.

EKONOMI gig menjadi pilihan beberapa bekas kakitangan syarikat akhbar Utusan Melayu (Malaysia) Berhad selepas syarikat itu mengumumkan pemberhentian operasi dan gulung tikar pada 9 Oktober lalu.

Mereka berasa ia adalah pilihan terbaik untuk menyara kehidupan sementara menanti kerja tetap.

“Sekarang tidak banyak pilihan dalam bidang kewartawanan, saya terpaksa memilih gig ekonomi, sama ada menjadi pemandu Grab atau buat Grab Food,” kata seorang bekas kakitangan yang hanya dikenali sebagai Iskandar.

Bekas kakitangan syarikat penerbitan akhbar itu ditemui ketika sesi taklimat bersama pelikuidasi sementara di ibu pejabat Utusan di ibu negara hari ini.

Sebagaimana yang lain, Iskandar turut berharap agar pihak syarikat membayar segala pampasan dan tunggakan gaji sebagaimana dijanjikan.

“Kita harap apa yang kita isi dalam borang ini dapat dibayar, tak kiralah makan masa berapa lama sekalipun.”

Dianggarkan kira-kira 1,500 bekas kakitangan syarikat akhbar itu dari seluruh negara hadir bagi mendengar taklimat yang bermula pukul 3 petang dan tamat kira-kira tiga jam kemudian.

Mereka yang hadir diminta mengisi dokumen tuntutan baki pendapatan tertunggak, pampasan pemberhentian, dan tuntutan pelbagai yang lain seawal pukul 10 pagi tadi.

Selain menghadiri taklimat, badan kebajikan kakitangan Utusan menyediakan kaunter Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), dan Jobs Malaysia, yang menawarkan khidmat bantuan pengurusan kewangan dan mencari kerja kosong.

Seorang lagi bekas pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Syafiq, ekonomi gig menjadi pilihan kerana ia memberikan beliau lebih kuasa untuk mengawal pendapatan yang diperolehi.

“Kalau mahu lebih, kita kena kerja lebih. Kita yang susun sendiri waktu kerja tetapi sementara itu kita cuba juga cari pendapatan tetap yang lain, yang lebih terjamin,” katanya.

Selain itu, ada bekas pekerja yang menjadi jurujual di pusat sukan sementara menanti jawapan permohonan kerja lain.

“Apa nak buat, kerja sementara dululah, sebelum dapat panggilan kerja di tempat lain, bidang kewartawanan di Malaysia pun sakit sekarang,” katanya, yang enggan dikenali.

Kelemahan pihak pengurusan

Seorang bekas kakitangan bahagian kewangan Utusan yang enggan mendedahkan identitinya menyalahkan pihak pengurusan syarikat berhubung situasi dialami 800 kakitangan syarikat tersebut.

“Orang kata masalah industri dan sebagainya, tapi sebenarnya itu berlaku sebab kelemahan pengurusan syarikat itu sendiri,” katanya.

Penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! dihentikan serta-merta pada 9 Oktober lalu selepas syarikat Utusan Melayu menutup operasinya.

Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu Abdul Aziz Sheikh Fadzir dalam notis kepada kakitangannya berkata syarikat itu tidak lagi mampu membayar hutang untuk meneruskan operasi walaupun sudah melaksanakan beberapa langkah untuk menyelamatkannya.

“Oleh demikian, syarikat akan memberhentikan operasi berkuat kuasa pada Rabu, 9 Oktober 2019.

“Sehubungan itu, tarikh akhir bekerja tuan/puan ditetapkan pada Rabu, 9 Oktober 2019, manakala tarikh akhir perkhidmatan ialah pada Khamis, 31 Oktober 2019,” katanya.

Keputusan itu diumumkan dua hari selepas Utusan melepaskan 70% pegangan sahamnya dalam Dilof Sdn Bhd kepada Aurora Mulia Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan taikun Syed Mokhtar Albukhary.

Dilof adalah anak syarikat Utusan yang memegang hak penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo sejak awal September lalu.

Pada tarikh sama 7 Oktober itu, nama Dilof ditukar kepada Media Mulia Sdn Bhd.

Dilof adalah asalnya syarikat milik Aziz yang diambil alih oleh Utusan pada akhir Ogos lalu.

Minggu lalu, Kementerian Sumber Manusia mengingatkan Utusan agar melunaskan semua pampasan dan gaji tertunggak kakitangannya termasuk pampasan VSS yang tidak dibayar sebelum ini.

Pada September 2018, syarikat berkenaan turut menawarkan VSS kepada 700 kakitangannya. – 30 Oktober, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen