Adun tidak boleh suka-suka minta duduk mana, kata ketua whip Pakatan Selangor


Nabihah Hamid

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong Kiat Ping berkata tempat duduk Adun tertakluk kepada agihan parti, selain mengambil kira pengalaman wakil rakyat berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2019.

WAKIL rakyat Selangor tidak boleh suka-suka meminta dan menentukan tempat duduknya di Dewan Undangan Negeri, kata Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong Kiat Ping.

Beliau yang juga Adun Bukit Lanjan dari PKR berkata, tempat duduk Adun tertakluk kepada agihan parti, selain mengambil kira pengalaman wakil rakyat berkenaan.

Elizabeth mengulas permohonan Adun Bersatu Mohd Shaid Rosli mahu duduk di blok pembangkang apabila sidang dewan bermula awal bulan depan.

“Perubahan tempat duduk tidak boleh dituntut oleh mana-mana ahli dewan sepertimana yang dimahukan. Bukan keputusan Adun menentukan keputusannya. 

“Selepas perbincangan ringkas saya dengan Speaker Ng Suee Lim, Adun Jeram dijangka kekal di tempat yang sama,” kata Adun Bukit Lanjan itu dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight. 

Elizabeth Wong bagaimanapun menegaskan Ronnie Liu perlu tarik semua kenyataannya dan memohon maaf kepada Bersatu. – Gambar Facebook, 24 Oktober, 2019.

Semalam, Shaid menghantar surat kepada Speaker DUN Selangor memohon tempat duduknya ditukar ke blok pembangkang sebagai membantah kritikan terbuka Ahli Jawatankuasa Pusat DAP Ronnie Liu, yang juga Adun Sungai Pelek, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Permohonan pertukaran tempat duduk ini sebagai tanda protes saya terhadap Ronnie Liu dari DAP yang tidak menghormati kepimpinan Pakatan Harapan selaku kerajaan yang memerintah negeri Selangor,” kata Shaid dalam surat itu.

Ronnie mengkritik Dr Mahathir, yang juga pengerusi PH dan Bersatu, atas tindakan beliau sebagai perdana menteri yang dakwanya sering membuat keputusan bercanggah dengan kepimpinan PH.

Beliau mendakwa PH masih boleh jadi kerajaan tanpa Bersatu.

Elizabeth bagaimanapun menegaskan Liu perlu tarik semua kenyataannya dan memohon maaf kepada Bersatu.

“Kenyataan beliau tidak perlu dan tidak wajar,” kata Elizabeth lagi. 

Elizabeth juga mengingatkan penyokong di Selangor menyedari pernyataan dan tingkah laku awam mereka. 

“Ada saluran yang betul di mana keluhan boleh disampaikan menerusi kepimpinan parti masing-masing dalam Majlis Kepimpinan Pakatan Harapan,” katanya lagi. 

Liu hari ini menegaskan tidak akan menarik balik kritikannya terhadap Dr Mahathir dan sedia dikenakan tindakan disiplin oleh parti selepas Setiausaha DAP Anthony Loke mengumumkan mahu merujuk beliau kepada lembaga disiplin parti. – 24 Oktober, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen