RONNIE Liu tidak akan menarik balik kritikannya terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Bersatu kerana ahli politik DAP itu berasakan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dan hanya menggunakan haknya dalam kebebasan bersuara.
Ahli jawatankuasa pusat DAP itu berkata beliau sanggup berdepan apa saja tindakan disiplin dikenakan oleh partinya akibat daripada kenyataannya yang turut menyinggung parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH).
“Jika Dr Mahathir boleh terima kritikan, dan beliau juga pernah mengkritik orang lain walaupun tentang perkara dihadapi negara lain, kenapa orang lain pula yang terganggu dengan apa yang saya cakap,” kata Liu.
“Dr Mahathir pun tidak kisah, dan tidak pernah kata saya biadap, jadi kenapa orang lain yang sibuk?”
Liu mencetuskan kekecohan dengan artikel pendapatnya baru-baru ini, di mana beliau mengkritik Dr Mahathir dan memberi amaran kepada Bersatu jangan membuat keputusan yang tidak selari dengan nilai PH.
Liu dikecam kerana pandangannya bertajuk “Mahathir: Harimau Kertas” kononnya PH boleh jadi kerajaan walaupun tanpa Bersatu.
Liu mengkritik Dr Mahathir, yang juga pengerusi Bersatu, atas tindakan beliau sebagai perdana menteri yang dakwanya sering membuat keputusan bercanggah dengan kepimpinan PH.
Kenyataan itu mencetuskan kemarahan dalam Bersatu, dengan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyelar ahli politik DAP itu.
Maszlee berkata kenyataan Liu biadap dan tidak perlu sementara Syed Saddiq, yang juga ketua Pemuda Bersatu berkata sayap itu tidak akan teragak-agak bertindak balas terhadap serangan biadap itu.
Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke berkata Liu yang juga adun Sungai Pelek akan dirujuk ke lembaga disiplin parti untuk dikenakan tindakan susulan kenyataannya terhadap Dr Mahathir.
Katanya, kenyataan Liu itu pandangan peribadi yang tidak bertanggungjawab, yang boleh menjejaskan kestabilan dalam PH.
Liu bagaimanapun berkata beliau sanggup berdepan tindakan disiplin.
“Saya akan pergi dan beri penjelasan kepada parti. Itu tidak jadi masalah.
“Saya akan mempertahankan hak kebebasan bersuara saya.”
Tambahnya, ini bukan kali pertama beliau mengkritik Dr Mahathir.
“Saya melakukan ini (kritikan) bukan hanya terhadap Dr Mahathir, tetapi untuk kebaikan PH,” katanya.
Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini Liu berkata apa yang dikritiknya itu sama dengan luahan hati rakyat sejak PH menang pilihan raya umum tahun lalu dan jadi kerajaan.
Katanya, ada keresahan dalam kalangan rakyat, kerajaan yang mereka angkat tidak akan mengotakan janji pilihan raya apatah lagi selepas Dr Mahathir sendiri berkata manifesto PH dirangka tanpa keyakinan ia akan menang PRU14.
“Kita tidak boleh benarkan PH, malah perdana menteri pun, untuk mengheret kita ke jalan sama yang dilalui rejim Barisan Nasional sebelum ini,” katanya, lalu menggariskan janji PH yang tidak tertunai.
Liu juga bertanya, kenapa hanya beliau digesa dikenakan tindakan sedangkan tidak ke atas Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang secara terbuka mempersoalkan perjanjian peralihan kuasa perdana menteri yang PH persetujui.
“Apa pun keputusannya nanti, saya tetap berpegang pada naluri sebagai wakil rakyat yang bertuankan rakyat,” katanya. – 24 Oktober, 2019.
Komen