PEMUDA Bersatu mahu DAP mendisiplinkan pemimpin kanannya Ronnie Liu atau bersedia menghadapi serangan mereka, walaupun dua parti itu sekutu dalam Pakatan Harapan (PH).
Dalam satu kenyataan media, Pemuda Bersatu berkata kenyataan Ronnie kononnya PH tidak perlukan Bersatu untuk membentuk kerajaan sebagai biadab dan tidak menghormati keharmonian antara parti dalam gabungan itu.
“Armada Bersatu seluruh Malaysia mendesak DAP untuk mendisiplinkan Ronnie Liu atas kebiadaban ini.
“Kami memberi masa sehingga satu minggu untuk Ronnie Liu memohon maaf atau pimpinan DAP disiplinkan beliau,” kata kenyataan yang disokong ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Kenyataan itu juga dikeluarkan atas nama semua ketua sayap pemuda Bersatu negeri dan exco.
“Armada Bersatu seluruh negara tidak akan teragak-agak untuk bertindak atas serangan biadab ini.
“Jika pimpinan DAP tidak lakukan apa apa, Armada akan bebas menyerang pimpinan DAP, termasuk pimpinan tertingginya,” kata kenyataan itu.
Setiausaha DAP Anthony Loke hari ini mengumumkan akan merujuk Liu, yang juga Adun Sungai Pelek, ke lembaga disiplin parti untuk dikenakan tindakan susulan kenyataannya terhadap Dr Mahathir.
Katanya, kenyataan Liu itu pandangan peribadi yang tidak bertanggungjawab, yang boleh menjejaskan kestabilan dalam PH.
Awal hari ini, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik – juga dari Bersatu – menggesa DAP agar mendisiplinkan ahli parti supaya hormat keputusan kerajaan dan patuh pada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara, dua perkara yang katanya membina negara.
“Saya ingin menasihatkan mana-mana ahli DAP yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan agar kembali mematuhi semangat “rule of law” dan juga “collective responsibility”,” katanya.
Maszlee juga menyelar Liu kerana merendah-rendahkan parti komponen PH.
“Budaya politik murahan begini hanya akan merosakkan keadaan. Ia membawa lebih banyak perpecahan malah membantutkan agenda reformasi yang sedang kita laksanakan,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya mengingatkan Liu supaya sedar akan kedudukan dirinya tanpa Bersatu dalam PH.
“Saya nak ingatkan kepada Ronnie Liu bahawa sebagai parti yang berada bawah kerajaan, sepatutnya beliau juga tanya diri dia di manakah kedudukan beliau kalau tanpa Bersatu.
“Saya rasa ini satu kenyataan yang kurang bijak, harap kepimpinan DAP dapat tangani perkara ini,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen.
Liu dikecam kerana pandangannya bertajuk “Mahathir: Harimau Kertas” kononnya PH boleh jadi kerajaan walaupun tanpa Bersatu.
Liu mengkritik Dr Mahathir, yang juga pengerusi Bersatu, atas tindakan beliau sebagai perdana menteri yang dakwanya sering membuat keputusan bercanggah dengan kepimpinan PH.
Kritikan itu muncul ketika pimpinan akar umbi DAP turut mengkritik keputusan Maszlee dan Kementerian Pendidikan melarang edaran komik kontroversi ‘Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI)’ ke sekolah.
Empat puluh tiga pemimpin akar umbi DAP termasuk beberapa wakil rakyat mengecam keputusan itu dan menuduh Maszlee menteri Umno. – 23 Oktober, 2019
Komen