Ronnie Liu dirujuk ke jawatankuasa disiplin DAP, kata Loke


Lee Chi Leong

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke berkata kenyataan tidak bertanggungjawab Adun Sungai Pelek Ronnie Liu terhadap perdana menteri dan Bersatu boleh menjejaskan kestabilan dalam PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2019.

AHLI Jawatankuasa Pusat DAP Ronnie Liu akan dirujuk ke lembaga disiplin parti untuk dikenakan tindakan susulan kenyataannya terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Bersatu, kata Anthony Loke.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP itu berkata kenyataan Adun Sungai Pelek itu adalah kenyataan peribadi yang tidak bertanggungjawab, yang boleh menjejaskan kestabilan dalam Pakatan Harapan (PH).

“Kenyataan itu tidak mewakili pendirian parti DAP. Tiada sesiapa pemimpin dalam PH termasuk DAP boleh mempersoalkan PH.

“PH ditubuhkan oleh 4 parti iaitu Bersatu, PKR, Amanah dan DAP. Kita memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 melalui platform PH. Ini mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada kerajaan PH di bawah pimpinan YAB Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kenyataan daripada Sdr Ronnie Liu ini dilihat oleh kepimpinan DAP sebagai satu tindakan sabotaj yang serius untuk menjejaskan kestabilan dan memecahkan perpaduan dalam kerajaan PH. Saya sebagai Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP akan merujuk beliau kepada Jawatankuasa Disiplin DAP,” kata Loke kepada pemberita di Pelabuhan Klang hari ini.

Liu semalam mengkritik Dr Mahathir Mohamad dan Bersatu yang menurutnya sering membuat keputusan bercanggah dengan kepimpinan PH.

Awal hari ini, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menggesa DAP mendisiplinkan ahli parti supaya patuh keputusan kerajaan dan undang-undang Malaysia.

“Saya ingin menasihatkan mana-mana ahli DAP yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan agar kembali mematuhi semangat “rule of law” dan juga “collective responsibility”.

“Saya juga ingin menggesa pimpinan DAP untuk mendisiplinkan ahli-ahli mereka agar menghormati keputusan kerajaan dan patuh terhadap perlembagaan dan undang-undang negara. 

“Kedua perkara inilah yang membina negara kita,” katanya, dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini juga mendesak Liu dikenakan tindakan disiplin kerana kenyatannya yang biadap.

“Armada Bersatu seluruh negara tidak akan teragak-agak untuk bertindak atas serangan biadap ini,” katanya dalam satu kenyataan.  – 23 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen