Disiplinkan ahli parti, gesa Maszlee kepada DAP


Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata DAP harus mengingatkan ahli parti agar hormat keputusan kerajaan dan patuh pada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2019.

MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik menggesa pimpinan DAP supaya mendisiplinkan ahli mereka supaya patuh pada keputusan kementeriannya melarang pengedaran komik kontroversi ‘Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI)’ ke sekolah.

Maszlee membuat gesaan itu selepas 43 pemimpin akar umbi DAP termasuk beberapa wakil rakyat mengecam keputusan Kementerian Pendidikan dan menuduh beliau menteri Umno.

Kata Maszlee, DAP harus mengingatkan ahli parti agar hormat keputusan kerajaan dan patuh pada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.

“Saya ingin menasihatkan mana-mana ahli DAP yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan agar kembali mematuhi semangat “rule of law” dan juga “collective responsibility”.

“Saya juga ingin menggesa pimpinan DAP untuk mendisiplinkan ahli-ahli mereka agar menghormati keputusan kerajaan dan patuh terhadap perlembagaan dan undang-undang negara. 

“Kedua perkara inilah yang membina negara kita,” katanya, dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataannya, Maszlee mengulangi ketetapan bahawa komik idea ketua pegawai eksekutif Majlis Perniagaan Malaysia-China, Hew Kuan Yew adalah propaganda politik dan tidak mendapat kelulusan kementerian untuk edaran di sekolah.

“Semua sekolah yang telah menerima komik tersebut telah diarahkan untuk tidak disebarluaskan. 

“Kementerian Pendidikan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempergunakan sekolah sebagai alat propaganda murahan,” kata Maszlee.

Beliau juga mengarahkan kementerian untuk menyiasat dengan segera jika ada mana-mana pihak termasuk anggota dalaman kementerian yang bertanggungjawab membenarkan komik itu diedar di sekolah.

“Kementerian akan memastikan siapa sahaja jika terbukti benar dakwaan ini akan diberi tindakan tegas,” katanya.

Sementara itu, Maszlee turut menegur pemimpin ahli jawatankuasa pusat DAP, Ronnie Liu selepas Adun Sungai Pelek itu membuat kenyataan Pakatan Harapan masih utuh sebagai kerajaan walaupun mungkin tanpa Bersatu.

“Tindakan merendah-rendahkan parti komponen lain seperti yang dilakukan oleh Saudara Ronnie Liu ialah tindakan yang biadab dan sangat tidak berasas.

“Budaya politik murahan begini hanya akan merosakkan keadaan. Ia membawa lebih banyak perpecahan malah membantutkan agenda reformasi yang sedang kita laksanakan,” katanya.

Semalam, Ronnie mengkritik Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad atas tindakan beliau sebagai perdana menteri yang dakwanya sering membuat keputusan bercanggah dengan kepimpinan Pakatan Harapan.

Komik BRI jadi perhatian selepas kandungannya didedahkan mengandungi propaganda yang mewakili pandangan politik China, misalnya yang menganggap pihak yang membela umat Islam Uighur yang tertindas dizalimi kerajaan China sebagai radikal.

Komik itu juga memakai pendirian China mengenai batas sempadan di Laut China Selatan, wilayah yang turut dituntut hak miliknya oleh Malaysia. – 23 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen