TIMBALAN Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy menangkis dakwaan bahawa beliau bersikap anti-Islam dan anti-Melayu seperti yang dituduh ramai pihak.
Dalam temubual secara eksklusif bersama The Malaysian Insight, beliau menjelaskan perkara itu timbul apabila sering kali mengkritik tokoh agama dari India, Zakir Naik.
Sedangkan kritikan terhadap Zakir Naik itu hanyalah ke atas kaedah ceramah dan bukan menyentuh peribadi warga India tersebut.
“Pertama, beliau (Zakir Naik) sering memperkecilkan agama lain ketika memberi ceramah. Itu tidak boleh, di Malaysia ada pelbagai kaum dan agama, keadah itu boleh mengguriskan hati kaum lain.
“Kedua beliau gunakan perbandingan agama yang cenderung menghina agama lain,” tambahnya.
Ramasamy juga berkata beliau sedia berdepan saman yang difailkan Zakir Naik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu.
“Kalau dia nak saman saya, saya tidak takut, itu hak dialah,” tambahnya.
Katanya, beliau hairan kerana tidak dilabel pejuang Islam apabila menyuarakan sokongan kepada organisasi seperti kumpulan Hamas di Palestin dan Gerakan Aceh Merdeka (GAM) di Indonesia.
Anggota jawatankuasa pusat DAP itu juga berkata, beliau tidak dianggap pejuang Islam kerana komuniti Islam di Mindanao, Filipina, katanya.
Ramasamy berkata beliau juga terlibat secara aktif untuk perundingan damai GAM dengan Kerajaan Indonesia sekitar tahun 2004 hingga 2005.
Siri rundingan dilakukan di Sweden dan dibiayai oleh sebuah pertubuhan negara itu berjaya menghasilkan perdamaian apabila GAM diterima kerajaan Indonesia.
Rundingan yang disertainya sewaktu menjadi pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia itu juga menyaksikan Acheh juga memperoleh lebih autonomi dan menghentikan konflik senjata.
“Pada waktu itu, saya berasa amat bersyukur. Saya lega kerana berjaya menghentikan pembunuhan,” kata Ramasamy.
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu hari ini berada hampir empat jam untuk membantu siasatan polis berhubung dua laporan yang terbit di Malaysia Gazette dan Malaysiakini yang menyentuh peranan sebagai pendamai LTTE dan kumpulan pemisah lain.
Selepas empat jam berada di Bukit Aman, Ramasamy menegaskan kepada wartawan beliau dikaitkan dengan LTTE kerana ada pihak tertentu cuba menutup mulutnya yang lantang mengkritik pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik.
Isu LTTE muncul kembali susulan penahanan 12 individu, termasuk dua Adun DAP yang didakwa menyokong dan cuba menghidupkan semula kumpulan itu di Malaysia.
Kesemua yang ditahan diletakkan dibawah Akta Kesalahan Keselamatan, Langkah-Langkah Khas (SOSMA) 2012.
Bukit Aman pada minggu lalu mengumumkan terdapat transaksi kewangan dalam jumlah yang besar untuk membiayai, mempromosi, merekrut dan menggerakkan program kumpulan militan itu. – 22 Oktober, 2019.
Komen