Kaitkan dengan LTTE cubaan hentikan kritikan terhadap Zakir Naik, kata Ramasamy


Kalidevi Mogan Kumarappa

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy mendakwa ada cubaan pihak tertentu mengaitkan dirinya dengan LTTE untuk menghentikan kritikannya terhadap Zakir Naik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2019.

TIMBALAN Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy mendakwa ada cubaan pihak tertentu mengaitkan dirinya dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) untuk menghentikan kritikan terhadap Zakir Naik.

Beliau berkata peranannya di Sri Lanka lebih kepada tugas pendamaian namun ia disalah tafsir sebagai sokongan kepada LTTE.

“Saya percaya tindakan ini berniat untuk menghentikan saya daripada terus mengkritik Zakir. Saya secara peribadi tiada tentangan terhadap pendakwah itu.

“Cuma jangan burukkan orang bukan Islam, jangan api-apikan kita, jangan pertikai kesetiaan kita. Saya lahir di sini, belajar di sini, kahwin di sini dan akan mati di sini,” katanya kepada pemberita di luar Bukit Aman, hari ini.

Menjelaskan mengenai peranannya dalam proses pendamaian dalam perang saudara di Sri Lanka, Ramasamy berkata dia menyertai satu Jawatankuasa Hal Ehwal Perlembagaan yang ditubuhkan oleh Norway.

“Saya ke sana pada 2003 bersama enam ahli lain dan saya dipilih berdasarkan kepakaran ahli akademik dalam bidang sains politik.

“Tugas saya di sana sama seperti ketika bersama Gerakan Acheh Merdeka (GAM) dan bantu masyarakat Islam di Mindanao. Kenapa saya tidak dikaitkan dengan GAM tetapi hanya dengan LTTE,” katanya.

Katanya, ketika dia membantu penduduk Acheh yang 99% adalah orang Islam, tiada sesiapa menyatakan dia penyokong GAM.

“Kenapa mereka yang fitnah macam-macam tentang saya cuba katakan saya seorang LTTE.  Saya tidak ada kena mengena dengan ini.

“Kenapa dia tak bangkit isu saya tolong Acheh Islam dan orang Mindanao, kenapa ia baru dibangkit,” katanya.

Ramasamy yang tiba di Bukit Aman pada jam 9.50 pagi memberi keterangan lebih tiga jam berhubung dua artikelnya yang dikeluarkan di portal berita kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5 Bukit Aman.

Ramasamy berkata polis mengambil keterangannya untuk dua perkara iaitu satu mengenai artikel bertajuk “Kerajaan Baru tapi Polis Masih Pada Takuk Lama - Ramasamy” yang disiarkan di laman web www.mallaysiagazette.com pada 17 September lalu.

Katanya, beliau juga disiasat berhubung artikel dalam portal Malaysiakini, bertajuk “Who am i, peacemaker or terrorist”.

“Selain itu, polis juga ada menunjukkan dua klip video iaitu satu pada tahun 2010 ketika saya berucap di Kuala Lumpur ketika kedatangan ahli politik Seeman dari parti Naam Tamilar.

“Klip video kedua pula adalah ketika saya berucap di Chennai, India selepas perang saudara di Sri Lanka di mana saya sudah pun membuat laporan polis mengenainya dua minggu lalu.

“Pada konteks asalnya saya menyatakan perang saudara sudah tamat dengan penghapusan LTTR pada 2019 dan masyarakat Tamil di Sri Lanka tiada ada pilihan tetapi ikut lunas demokrasi,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kenyataannya itu diputar belit dengan mendakwa beliau pengganas dan penyokong LTTE.

Katanya, polis boleh menyiasat siapa dirinya yang sebenar.

“Peranan saya yang sebenar sebagai wakil rakyat, mempunyai penyokong berbilang kaum.

“Pendirian saya kuat, saya rasa betul-betul memerlukan keamanan dan tidak memerlukan Zakir Naik datang api-apikan perkauman di sini. Jadi saya tegas dalam hal ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan proses merakam keterangan itu.

Dilaporkan sebelum ini, Ramasamy diminta untuk memberi keterangan berhubung artikel bertajuk “Kerajaan Baru tapi Polis Masih Pada Takuk Lama - Ramasamy” yang disiarkan di laman web www.malaysiagazette.com pada 17 September.

Dalam artikel itu, Ramasamy telah mengulas tindakan polis menembak mati tiga lelaki yang disyaki perompak di Kilometer 22, Jalan Rawang menghala Batu Arang. – 21 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen