UMNO tidak tahu menahu keputusan Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad menutup perniagaan dengan gulung tikar, memberhentikan pekerja dan operasi penerbitan akhbarnya, kata Annuar Musa.
Setiausaha Agung Umno berkata Umno tidak tahu kerana ia sekarang pemegang saham kecil dan tiada wakil dalam lembaga pengarah Utusan.
“Jadi, kita tak tahu. Kita kena tengok dahulu apa yang dimaksudkan (dengan pengumuman Utusan).
“Kita boleh bagi pandangan tapi pandangan kita tak boleh buat apa-apa… sebab parti tidak ada kuasa lagi. Kita tidak memilikinya (Utusan).
“Kita sudah jadi pemegang saham yang sangat kecil, yang tidak boleh buat keputusan,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen.
Annuar mengulas pengumuman Pengerusi Eksekutif Utusan, Abd Aziz Sheikh Fadzir awal hari ini bahawa lembaga pengarah urusan syarikat pada Isnin meluluskan cadangan penggulungan sukarela pemiutang.
Mereka juga meluluskan pelantikan melantik UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai pelikuidasi interim, untuk proses menguruskan harta dan liabiliti syarikat dengan pemiutang.
Jelas Annuar, keputusan Utusan ini adalah keputusan perniagaan yang harus dihormati.
“Kita kena hormat kalau pemegang saham dan ahli lembaga buat keputusan. Kita hormat sebagai keputusan mereka,” katanya.

Beliau juga mengingatkan dalam memberi menghadapi perkembangan Utusan ditutup, ada dua perkara yang perlu dibezakan iaitu keputusan bisnes dan sentimen terhadap akhbar itu.
“Ada dua isu… satu sentimen, satu lagi realiti perniagaan,” katanya.
Umno mempunyai kepentingan dan memiliki syarikat berusia 80 tahun itu sejak 1961, dalam pengambilalihan yang mencetuskan peristiwa bersejarah mogok kakitangannya diketuai bekas ketua pengarah Said Zahari.
Umno memegang kepentingan sehinggalah ia melepaskan sebahagian besar pegangan sahamnya kepada Aziz pada awal tahun ini.
Laporan sebelum ini menyebut, bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru itu membeli pegangan saham Umno sebanyak 31.6% pada Februari lalu.
Berita penggulungan syarikat ini muncul sehari selepas Utusan membuat pengumuman melepaskan 70% pegangan dalam Dilof Sdn kepada Aurora Mulia Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan taikun Syed Mokhtar Albukhary.
“Ini untuk memastikan Utusan yang berusia 80 tahun tidak dikuburkan dan akhbar Kosmo yang berusia 15 tahun dapat diteruskan,” kata Utusan dalam kenyataan yang dipetik portal beritanya pada Isnin.
Dilof kini memegang permit menerbitkan Utusan Malaysia dan Kosmo sejak awal bulan lepas. – 9 Oktober, 2019.
Komen