Hari terakhir di Utusan


Afif Abd Halim

KUMPULAN Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, syarikat akhbar yang bermula sejak akhir 1930-an, gulung tikar dan memberhentikan kira-kira 800 kakitangannya berkuat kuasa hujung bulan ini.

Berita penggulungan syarikat ini muncul sehari selepas Utusan membuat pengumuman melepaskan 70% pegangan dalam anak syarikatnya Dilof Sdn Bhd kepada Aurora Mulia Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan taikun Syed Mokhtar Albukhary.

Pengerusinya, Abdul Aziz Sheikh Fadzir mengumumkan lembaga pengarah urusan syarikat pada Isnin meluluskan cadangan penggulungan sukarela pemiutang.

Aziz juga memaklumkan Utusan menghentikan operasinya serta merta hari ini.

Utusan bermula pada 1939 di Singapura sebelum berpindah ke Kuala Lumpur pada 1959. Dua tahun kemudian, ia dimiliki oleh Umno, sehinggalah parti itu melepaskan sebahagian besar pegangan sahamnya kepada Aziz pada awal tahun ini.

Lebih 800 kakitangan Utusan keliru dengan pengumuman syarikat gulung tikar dan menghentikan operasi kerana pihak pengurusan tidak memberikan sebarang petunjuk mengenai masa depan akhbarnya.

Mereka diminta mengemas tempat kerja, mengeluarkan barang peribadi dan mengembalikan semua aset syarikat kepada ketua jabatan sebelum 1 tengah hari tadi. – 9 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen