Lihat teguran Dr Mahathir dari sudut positif, kata Nik Abduh


Semalam, kira-kira 5,000 orang membanjiri di Stadium Melawati, Shah Alam dalam kongres yang menghimpunkan orang Melayu dari pelbagai latar belakang dan mengetepikan perbezaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2019.

ORANG Melayu perlu menerima positif teguran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai Melayu malas, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Katanya, puji-pujian saja tidak akan memajukan orang Melayu.

“Kita melihat dari sudut yang positiflah. Memang orang kurang senang hati kalau Tun terus mempertahankan bahawa orang Melayu ini malas.

“Bagi saya, itulah teguran kalau kita tengok dari sudut yang positif itu memang baguslah. Kita tidak boleh nafikan yang orang Melayu ini rajin, bijak dan sebagainya.

“Tetapi kalau kita terus memuji Melayu, Melayu ini bijak, Melayu ini rajin, tak ada orang nak sebut Melayu ini malas, maka tidak akan ada kesedaran untuk membangkitkan semua orang Melayu,” katanya, seperti dilaporkan Harakahdaily.

Nik Abduh mengulas ucapan Dr Mahathir di Kongres Maruah Melayu semalam yang sekali lagi membangkitkan soal kebanjiran pekerja asing di negara ini merebut segala peluang pekerjaan yang dianggap kotor, bahaya dan sukar.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir menegaskan maruah orang Melayu bergantung pada diri mereka sendiri – bukan pada kerajaan dan bantuan atau perlindungan yang boleh diberikan oleh kerajaan.

Dr Mahathir mengingatkan orang Melayu supaya tidak membiarkan pekerjaan yang ada di negara ini dikaut oleh warga asing, sama seperti orang Melayu membiarkan kaum Cina dan India dibawa masuk oleh British untuk bekerja di lombong dan di ladang sebelum merdeka dahulu.

Katanya, mereka yang rajin berusaha itu akan berjaya, dan sejarah akan berulang semula.

Ucapan Dr Mahathir itu semalam bagaimanapun ditolak oleh Gerakan Pembela Ummah.

Presidennya Aminuddin Yahaya menyifatkan ucapan Dr Mahathir itu menghina dan merendahkan orang Melayu.

Dalam pada itu, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan kenyataan Dr Mahathir dilihat sebagai kurang “perisa”.

Semalam, kira-kira 5,000 orang membanjiri di Stadium Melawati, Shah Alam dalam kongres yang menghimpunkan orang Melayu dari pelbagai latar belakang dan mengetepikan perbezaan.

Beberapa pemimpin utama parti politik membabitkan Umno, PAS, Amanah dan Bersatu turut hadir bersama tokoh agama, ahli akademik, pemimpin masyarakat dan golongan muda. – 7 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen