Hargai sasterawan selagi masih hidup


Zainal Rashid Ahmad

Pada 21 September ini (Sabtu) akan diadakan sesi Dongeng Kota di Rumah Serambi Karya, Jalan Bellamy, Kuala Lumpur. Ini penghormatan khas generasi muda kepada penyair terbilang, T Alias Taib.

Sabtu lalu, saya sempat minum teh di Bangsar bersama Jeneral Sindiket Soljah dan Editor Studio Anai-Anai, Azlan Sinaganaga. Turut serta penyair muda berusia 22 tahun, Karim Mohd.

“Kita suka tribute pada orang yang sudah pergi. Sejak era rasa bersalah kerana membiarkan P Ramlee hidup derita sebelum mati, dunia seni sekarang berterusan dilanda tribute. Ia macam cara menebus dosa,” kata saya.

Karim hanya mendengar dan Azlan barangkali tertanya: Apakah saya mengkritik projek Kata Pilar, Pungguk dan Serambi Karya?

Ini tiga komuniti yang menganjurkan Dongeng Kota pada Sabtu ini dengan senarai nama-nama besar sebagai panel. Projek khas ini turut melancarkan dua versi kulit muka buku Peneka Silang Kata.

T Alias Taib meninggal dunia pada 2004 dan tahun ini genap 15 tahun penyair terkenal ini pergi meninggalkan kita. Tribute ini ada sinonimnya. Ia satu pembelaan anak muda terhadap penyair kelahiran Terengganu ini. T Alias Taib tidak pernah dihargai ketika hayatnya.

Buku Peneka Silang Kata terbit atas usaha Fahd Razy (Kata Pilar) dan Ainul Muaiyanah (Pungguk) yang bertemu keluarga T Alias Taib untuk mendapatkan karya yang tersimpan tetapi tidak pernah tersiar.

Usaha ini dilengkapkan dengan trio Fazleena Hishamuddin, pengasas Serambi Karya untuk menjadikan projek Dongeng Kota satu sesi diskusi kasual tetapi mood yang penuh apresiasi dan memori.

Bagi saya, ini usaha murni. Apa lagi dilaksanakan generasi muda yang tidak pernah mengenal T Alias Taib ketika hayatnya. Namun, mereka kagum pada puisi-puisinya.

Nasib Baharuddin Kahar

“Aku teringatkan Baharuddin Kahar,” kata saya kepada Azlan dan Karim: “Cerpenis dan novelis hebat yang terbiar hidup di Segamat. Tidak ada yang pedulikan karya-karya hebatnya. Apa lagi orangnya.”

Baharuddin Kahar nama hebat. Kumpulan cerpennya Terima Kasih Tuhanku menerima Hadiah Sastera Malaysia (HSM) 1984/1985. Novel Senjakala pula dijadikan Buku Teks SPM 1988-1992.

Susunan rak karyanya juga banyak. Antaranya Menerjang Gelombang 1989 dan senarai koleksi cerpennya yang terkenal terutama Capa Rengat (Hadiah Sastera Malaysia 2005) dan “Sempana Ganja Iras” (Hadiah Sastera Malaysia 1982/1983).

Baharuddin turut menerima Hadiah Cerpen ESSO-GAPENA 1976 dan 1981.

Baharuddin dilahirkan 24 Disember 1946, di Pekan Lama, Tanjung Rambutan, Perak. Dia menerima Anugerah Zamalah Sastera Berita Harian 1985. Sejak dua dekad lalu, seniman ini merantau jauh dan menetap di Segamat, Johor.

Agak sukar untuk saya menulis bahagian ini. Perasaan bersalah untuk menyatakan realiti: Baharuddin dibiarkan hidup miskin sebagai penjaja sate. Dia sepatutnya dibantu dan diberikan ruang yang lebih baik sesuai dengan sumbangan dan bakat sasteranya.

Realitinya, penulis hebat ini menganggap itu pekerjaannya. Walaupun hanya memiliki basikal buruk dan bertarung hidup hari ke hari dengan menjaja sate secara kecil-kecilan, Baharuddin tidak menganggap dirinya miskin dan perlukan bantuan.

Kisah Baharuddin didedahkan umum dan menerima liputan media massa. Sudah pasti banyak pihak mengetahuinya. Cuma, yang berusaha membantu – wallahualam.

“Sekarang Baharuddin sudah jadi anak rantau di Segamat. 

“Pergi jumpa ZF Zamir (Setiausaha Akhbar Maszlee Malik) dan minta bajet buat majlis tribute kepada Baharuddin. Karya-karya Baharuddin hebat dan mengangkat nilai desa, perjuangan, ketabahan dan skop kemanusiaan yang humanis. Anak muda sekarang harus kenal dia.”

Azlan menganggukkan kepala. Karim diam dan hanya berkata: “Saya kagum dengan cerpen Capa Ringat.”

Saya sendiri pengagum Terima Kasih Tuhanku. Kumpulan cerpen yang dibaca pada usia 20 tahun ini sangat membina jiwa dan minda. Sebagai manusia, isi cerpen Baharuddin penuh dengan semangat juang dan ketabahan.

Sebagai karya sastera pula, buku ini telah meletakkan satu indeks yang tinggi bagi standard cerpen realisme.

Blogger Komuniti Segamat pernah menyiarkan kisah hidup Baharuddin pada 2016. Sangat terperinci wawancaranya dan turut mendedahkan betapa miskin dan daif hidup Baharudin pada usia 70 tahun. Sekarang seniman perantau ini sudah berusia 73 tahun.

Usia ini memerlukan perhatian. Bukan perhatian murahan, tetapi sebagai tanda hormat masyarakat kerana sumbangannya kepada kesusasteraan nasional. Selama lima tahun novel Senjakala dijadikan buku teks SPM - pasti ia dibaca hampir sejuta pelajar pada era itu.

“Kami berminat nak buat,” kata Azlan Sinaganaga. “Kami akan jumpa ZF Zamir.”

Saya berasa lega.

“Selain menulis, setiap hari pak cik akan menjual sate kerana ini sahaja pendapatan pak cik dan walaupun orang lihat kehidupan pak cik seperti serba kekurangan, pak cik gembira dengan kehidupan pak cik sekarang ini.

“Dulu, pelbagai pekerjaan yang pernah pak cik lakukan sebelum menjadi penulis termasuk menjadi buruh, peniaga, pemberita di sebuah akhbar tempatan selain guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah menengah di Perak,” kata Baharuddin kepada Komuniti Segamat.

Menurut novelis kelahiran Tanjung Rambutan, Perak, itu, pada mulanya, beliau berhasrat untuk menjadi pemuzik yang berjaya kerana menggemari muzik namun, bidang tersebut tidak berhasil menyebabkan dirinya beralih arah kepada bidang penulisan pada awal 1970-an.

Akhirnya, saya berpegang pada janji Azlan Sinaganaga. Jeneral Sindiket Soljah ini akan bercakap dengan Zamir. Pasti ada relevannya. Menteri pendidikan juga ahli Parlimen dari Johor dan wajar sekali meraikan Baharuddin.

Berikan penghormatan ketika seniman ketika masih hidup. Tidak ada maknanya mengulangi kesilapan terhadap P Ramlee. Kita berikan pelbagai anugerah ketika seniman agung itu sudah pergi. – 18 September, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Ada kesilapan tu.. Menteri Pendidikan Ahli Parlimen Simpang Renggam, bukan Segamat.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh MUHD NORIZAM JAMIAN · Ulasan