“KERJA saya mula 9.30 pagi sampai 5.30 petang saja. Lima hari seminggu. Saya tak mahu terima mesej berkaitan kerja selepas waktu pejabat atau ketika hari cuti. Itu bertentangan dengan hak pekerja!”
Anda mungkin tidak percaya, pada era interaksi maklumat yang agresif, pekerja masih menolak gaya kerja begini. Pada era teknologi maklumat (IT), pekerja menganggap komitmen mereka hanya pada waktu bekerja.
“Kalau saya kena jawab Whatsapp lepas waktu kerja dan masih kena berkomunikasi pada hujung minggu, kualiti masa rehat saya akan terjejas,” tegas seorang wartawan penyiaran.
Ini antara krisis persekitaran kerja hari ini. Satu pertembungan antara tuntutan perubahan berdasarkan cabaran semasa dengan budaya selesa cara lama.
Sekiranya pekerja masih mahu berada di takuk lama, apakah mereka mampu menyesuaikan diri dengan era komunikasi aktif masa kini?
Kalau gagal menyesuaikan diri dengan cara kerja berdasarkan persaingan ledakan IT, apakah mereka kompeten berdepan tuntutan kerja Revolusi Industri (IR) 4.0?
Kes bantahan untuk menerima arahan kerja melalui WhatsApp di luar waktu pejabat, sekadar rujukan paling asas. Betapa, penolakan terhadap perubahan budaya kerja tetap menjadi cabaran utama mengubah mentaliti 14 juta pekerja di negara ini.
Itu belum mengambil kira sejauh mana pekerja di negara ini faham tuntutan mentaliti dan idea baharu dalam menerima IR 4.0 dan Kepintaran Buatan (AI) yang kini menerajui industri global.
WhatsApp hanya asas saja. Bagaimana sikap pekerja dalam bertindak balas pada era 5G yang menawarkan teknologi serba laju dalam proses muat naik dan muat turun maklumat dan pergerakan berbilion data?
Ini krisis mentaliti. Sama ada agensi swasta yang dipacu bisnes komersil mahu pun perkhidmatan awam yang bersifat servis. Kita kena menerima hakikat: negara sedang berkembang pesat tetapi otak pekerja masih tersepit!
Mengapa WhatsApp dianggap bukan komunikasi rasmi?
Jawapannya mudah: “Privasi kami sebagai pekerja terjejas sebab urusan WhatsApp di luar waktu pejabat mengganggu kehidupan privasi.”
Seorang pekerja lain pula bertindak keluar dalam grup WhatsApp pejabat.
“Dalam skop kerja selama lapan tahun ini, tiada amalan kerja melalui WhatsApp. Kita tak tau sama ada kerja atas arahan WhatsApp dil uar waktu pejabat atau hari cuti boleh dituntut. Malah, tak ada elaun. Benda ini tak ada dalam buku panduan kerja!”
Ini kisah dua pengalaman teman saya di dua tempat kerja berbeza ini. Isu yang membuatkan mereka sebagai ketua berasa sebal dan jengkel.
Penolakan terhadap komitmen WhatsApp sebagai satu tanggungjawab kerja memberikan petunjuk mudah. Akta Buruh dan isu hak pekerja telah membentuk mentaliti persekitaran pasif.
“Ini sebenarnya mentaliti pekerja yang pemalas dan tidak produktif. Malah, tidak mahu menerima hakikat, komunikasi digital sudah menyerap dalam sistem pekerjaan masa kini,” kata teman saya yang berkhidmat di agensi kerajaan.
Dia menceritakan betapa terkejutnya ketika berdepan dengan sikap kakitangannya.
“Kami akan buat aduan ke pejabat buruh kalau dipaksa menerima arahan dalam grup WhatsApp lepas waktu kerja atau hari cuti,” ugut penjawat bawahan.
Sebenarnya, peringkat pengurus atau ketua jabatan pun ramai yang bermentaliti sama. Kumpulan ini beranggapan: tidak perlu menjawab, memaklumkan atau memberi sebarang respons melalui WhatsApp selepas waktu kerja atau pada hari cuti.
Mentaliti pasif
WhatsApp ialah aplikasi paling asas dalam teknologi komunikasi telefon pintar hari ini. Tentulah aneh, ketika industri komunikasi berdepan cabaran bisnes yang merudum teruk, amalan komunikasi aktif masih dianggap satu beban tambahan.
Bisnes media konvensional terjejas akibat kemunculan platform berita atas talian yang lebih agresif. Menolak komunikasi WhatsApp sebagai gaya kerja baharu, satu gambaran jelas, pekerja media konvensional sendiri tidak kompeten.
Mustahil dalam bisnes yang kritikal hari ini, komunikasi pengurusan dihadkan pada mesyuarat waktu pejabat saja.
Namun, itulah realitinya. Hal yang sama juga dialami sektor swasta. Bagi syarikat gergasi yang tumbuh pada era sembilan puluhan, penjawat kanan era lama berasa terganggu dengan gaya kerja WhatsApp.
Setelah tiga dekad berkhidmat, komunikasi WhatsApp dianggap mengubah budaya mesyuarat mingguan. Atau, komunikasi verbal dan komitmen sembilan jam waktu kerja.
Rakan di agensi kerajaan turut berkongsi pengalaman:
“Kalau saya tanya sesuatu yang penting pada lewat petang Jumaat, jawapan hanya muncul pagi Isnin,” katanya.
Memandangkan sikap ini membabitkan ketua-ketua jabatan, dia menerima reaksi ini sebagai satu realiti.
“Akhirnya saya akur. Hal kerja cakap pada waktu dan hari bekerja saja,” katanya
Sakit kepala industri komunikasi
Persekitaran kerja media konvensional lebih teruk terjejas. Era e-mel dianggap paling maju. Pembaharuan e-mel sudah memadai.
Cuma, e-mel pula ada budayanya. Inbox hanya dibuka pada hari bekerja. E-mel dianggap teknologi tercanggih selepas komunikasi mesyuarat mingguan.
Selebihnya, aplikasi telefon pintar hanya diterima sebagai trend glamor kehidupan peribadi. Komitmen WhatsApp yang mengejar hidup di luar waktu pejabat dan ketika cuti dianggap satu ancaman terhadap hak pekerja.
Anehnya, semua ini masih berlaku ketika media konvensional sedang melalui zaman merosot. Sikap pasif pada tuntutan komunikasi yang lebih meluas, satu gambaran jelas mentaliti lapuk yang tidak berdaya saing.
Media massa atas talian memiliki dua kelebihan. Pertama, platform ini mencipta mentaliti kesediaan berfungsi 24 jam. Kedua, aset sumber manusia yang memahami budaya kerja dalam persaingan maklumat pada era kepantasan digital.
“Kami editor media digital memulakan kerja suntingan seawal 4 pagi. Ini bagi memastikan pada pukul 6 atau 7 pagi, berita mula disiarkan bagi memenuhi demand pelayar dan pelanggan atas talian,” kata teman saya.
Lebih menarik, kebanyakan operator berita atas talian tidak lagi menggunakan konsep pejabat. Ada yang memiliki 60 pekerja tetapi 100% operasi dijalankan tanpa ruang pejabat.
“Semua bekerja dari rumah. Mesyuarat seminggu sekali saja,” katanya.
Fenomena ini tentu kejutan bagi operator media konvensional. Semua stesen TV dan syarikat penerbitan akhbar masih menggunakan konsep bekerja 100% di pejabat.
Ruang pejabat yang besar dengan kos sewaan dan penyelenggaraan tinggi masih dianggap perkara biasa dalam bajet operasi.
Walaupun, kos sewaan dan selenggaraan pejabat sahaja menelan biaya antara RM200,000 hingga RM1 juta sebulan.
Selain gagal mengaplikasikan cara kerja yang kompeten, media konvensional masih taksub pada budaya kerja lapuk.
Selain mentaliti, kegagalan berubah sikap dan cara kerja berdasarkan realiti, antara sebab media konvensional sedang mengalami zaman gelap. – 21 Ogos, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen