Sisa radioaktif Bukit Merah ditimbus dengan selamat, kata kerajaan Perak 


Noel Achariam Lee Chi Leong

Pusat rawatan sisa radioaktif yang dibina di Bukit Kledang bagi menangani sisa berbahaya yang terhasil daripada kilang di Bukit Merah.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 September, 2019.

KETIKA peduduk Bukit Merah masih meragui tentang keselamatan mereka berhubung pencemaran sisa radioaktif di kawasan mereka tinggal, kerajaan negeri Perak memberi jaminan sisa dari kilang Asia Rare Earth Sdn Bhd (ARE) yang dipindahkan ke Bukit Kledang adalah selamat.

Kemudahan Penstoran Jangka Panjang (LTSF) di Bukit Kledang dibina ketika ARE, sebuah syarikat milik Mitsubishi Chemicals, masih beroperasi sebelum ia dipaksa tutup berikutan tekanan daripada penduduk tempatan dan masyarakat antarabangsa pada 1992 berhubung sisa radioaktifnya.

Perbadanan Menteri Besar (MB inc) memberitahu The Malaysian Insight dalam satu kenyataan bahawa proses pembersihan di tapak kilang ARE bermula pada tahun 2003 dan selesai pada bulan Oktober 2005.

“Objektifnya adalah untuk membersihkan dan memulihkan tapak loji ARE untuk digunakan sebagai tanah perindustrian.

“Projek ini merangkumi perobohan struktur dan bangunan, penggalian tanah yang tercemar, pembinaan sel-sel kejuruteraan (EC-1) (Bahagian Repositori) dan pemulihan tapak loji,” katanya dalam satu kenyataan, merujuk kepada bunker atau simpanan kedua kawasan dalam LTSF.

Kilang Asia Rare Earth Sdn Bhd yang dibina pada Julai, 1982 terpaksa ditutup pada 1992 kerana tekanan penduduk dan masyarakat antarabangsa berhubung sisa rasdioaktifnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 September, 2019

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan mengenai kebimbangan penduduk di Kampung Bukit Merah, yang terletak kira-kira 100 meter dari tapak loji, sejak ARE ditutup.

Kawasan terbabit diperiksa untuk mengesan pencemaran radioaktif oleh pihak berkuasa Malaysia 13 tahun lalu, namun pemeriksaan terbaharu yang dijalankan oleh pakar dari Jepun mendapati tahap radioaktif masih tinggi.

Sejak pemeriksaan dijalankan oleh pakar dari Jepun itu, tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa.

ARE memulakan operasi pada Julai, 1982 untuk melombong ytrium, sebuah logam nadir bumi daripada monazit.

Dua tahun selepas kilang yang hanya berjarak 100 meter dari kampung mereka beroperasi, penduduk kampung mengesan kecacatan fizikal pada bayi baharu lahir mereka, dan sekurang-kurangnya lapan kes leukemia dilaporkan.

Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Perak untuk pembangunan mineral, hartanah dan industri, mengakui tapak loji di Kawasan Perindustrian Bukit Merah, berhampiran kampung berkenaan kali tekahir diperiksa pada 2006.

Namun katanya, repositori di Bukit Kledang yang mana sisa radioaktif ditimbus adalah selamat. The Malaysian Insight tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu ketika melakukan tinjauan baru-baru ini.

Penduduk kampung yang terletak kira-kira 100 meter dari tapak loji ARE masih menyatakan kebimbangan mereka berhubung sisa radioaktif walaupun ia ditutup sejak puluhan tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 September, 2019

MB Inc berkata terdapat kira-kira 50,000 tong yang mengandungi sisa thorium hidroksida dan kira-kira 37,000 tong bahan tercemar, berdasarkan inventori akhir repositori.

Sisa thorium hidroksida adalah produk sampingan dari proses retakan soda kaustik dalam pengekstrakan bahan nadir bumi.

Sisa thorium hidroksida yang diambil dari tapak kilang kini menjadi milik kerajaan Perak.

LTSF telah siap pada September 1988 ketika ARE sedang beroperasi, dan mula menerima sisa untuk penyimpanan pada tahun 1989.

“Pembuangan dan pelupusan LTSF bermula pada tahun 2010, dengan komponen utama projek itu terdiri daripada pengambilan semula tong dan kandungan LTSF, tong kosong dan kandungan pepejal, pembinaan sel 2 yang direka bentuk,” kata MB Inc mengenai operasi untuk memindahkan sisa dan bahan lain yang tercemar dari tapak kilang ARE ke repositori. – 17 September, 2019.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen