INDONESIA berkuasa sepenuhnya untuk bertindak ke atas anak syarikat empat syarikat Malaysia dikaitkan dengan pembakaran terbuka yang menjadi punca jerebu rentas sempadan, kata Menteri Tenaga, Sains, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin hari ini.
“Terpulang kepada kerajaan Indonesia untuk siasat. Saya rasa banyak lagi syarikat lain, syarikat Indonesia (juga) terlibat dalam perkara ini.
“Menurut laporan, terdapat 30 syarikat,” katanya kepada wartawan selepas mesyuarat khas Jemaah Menteri di Putrajaya hari ini.
“Kami percaya bahawa kerajaan Indonesia wajar buat apa sahaja yang perlu untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang terbukti melanggar undang-undang,” tambahnya.
Semalam, Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia Siti Nurbaya Bakar menamakan empat syarikat Malaysia yang tanah anak syarikatnya disita untuk siasatan kebakaran.
Beliau menamakan anak syarikat milik IOI Corporation Bhd, Sime Darby Plantation Bhd, KLK Bhd dan TDM Bhd.
Bagaimanapun, IOI Corp dan Sime Darby malam tadi menafikan tanah anak syarikat mereka dirampas.
KLK pula hari ini mengakui wujud kebakaran di ladang anak syarikatnya, PT Adei Plantation and Industry di Riau tetapi menegaskan ia sudah berjaya dipadamkan pada hari sama ia ditemui.
Yeo menambah, Malaysia sudah menawarkan bantuan kepada Indonesia untuk memadamkan kebakaran terbuka yang berlaku di negara itu.
“Indonesia ada kuasa penuh untuk menguatkuasakan undang-undang negara mereka. Indonesia berkuasa penuh untuk memadamkan kebakaran di negara mereka, jadi kami sudah sampaikan mesej yang kita akan menyokong mereka dalam cara yang mereka anggap sesuai, jadi kita sudah bersedia (membantu) sekiranya mereka menerima tawaran kita,” katanya lagi.
Ditanya sama ada empat buah syarikat itu akan diminta memberi penjelasan kepada kementeriannya, Yeo berkata penguatkuasaan isu itu hanya terletak dalam bidang kuasa Indonesia kerana tidak wujud Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan di peringkat Asean.
Sementara itu, Yeo berkata kementeriannya juga sedang menunggu masa sesuai untuk melakukan proses pembenihan awan di Selangor.
Beliau menyifatkan usaha itu hanyalah langkah sementara dan keutamaan perlu diberikan kepada memadamkan kebakaran yang berlaku sekarang. – 14 September, 2019.
Komen