SYARIKAT perladangan Malaysia, Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) mengakui kebakaran berlaku di tanah ladang milik anak syarikatnya, PT Adei Plantation and Industri di Riau, Indonesia.
Bagaimanapun, kebakaran itu berjaya dipadamkan pada hari sama ia berlaku, kata kenyataan hari ini sebagai respon kepada tindakan pihak berkuasa Indonesia menamakan syarikat itu sebagai salah sebuah daripada empat syarikat Malaysia yang melakukan pembakaran terbuka sehingga menyebabkan pencemaran jerebu rentas sempadan.
“Memang berlaku kebakaran. Punca kebakaran masih disiasat.
“KLK dukacita untuk mengesahkan terdapat kebakaran di kawasan panas menjejaskan 2.8 hektar tanah daripada 14.400 hektar yang diuruskan PT Adei.
“Kawasan panas itu berjaya dipadamkan pada hari sama menerusi usaha 120 anggota bomba kami dibantu oleh 11 jentera dan pam air. Sebagai langkah berjaga-jaga, air akan terus disiram sepanjang malam bagi memastikan kawasan terjejas sentiasa basah dan mengelak pengulangan (kebakaran),” kata syarikat itu lagi.
Syarikat itu, bagaimanapun, tidak menyatakan tarikh dan masa kebakaran berlaku, tetapi menyebut “berlaku ketika kitaran musim kemarau luarb biasa di mana hujan direkodkan hanya dua hari dalam tempoh 60 hari.”
Jerebu rentas sempadan yang bermula bulan lepas bertambah buruk sejak beberapa hari lepas, didakwa berpunca daripada titik merah di Kalimantan dan Sumatera, memaksa ratusan sekolah di Malaysia ditutup.
Selepas penafian Indonesia tentang kebakaran hutan dibuat rakan sejawatnya, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin membuat bidasan meminta pihak berkuasa Indonesia merujuk kepada bukti kukuh dikeluarkan data satelit.
Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia Siti Nurbaya Bakar semalam menamakan empat syarikat Malaysia yang mempunyai anak sysarikat beroperasi di Kalimantan dan Riau. Tanah milik syarikat tersebut sudah ditutup untuk siasatan kebakaran.
Siti Nurbaya menamakan IOI Corporation Bhd (IOI), Sime Darby Plantation Bhd, KLK Bhd dan TDM Bhd sebagai dalang kebakaran punca krisis jerebu yang berlaku sekarang.
IOI Corp dan Sime Darby malam tadi menafikan tanah anak syarikat mereka “disita”.
KLK hari ini, bagaimanapun, mengakui 4.25 hektar tanah PT Adei ditutup untuk siasatan, ini termasuklah “kawasan pengasingan”.
Ia juga mengulangi bahawa syarikat mempunyai pensijilan dikeluarkan Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO), Indonesian Sustainable Palm Oil (ISPO) and International Sustainability dan Carbon Certification (ISCC), dan sentiasa patuh terhadap syarat ketat melarang pembakaran terbuka.
“Kami juga mempunyai dasar pembakaran sifar dan sepenuhnya patuh dengan dasar Asean tentang Pembakaran Sifar untuk semua operasi perladangan kami,” kata KLK lagi, menambah yang ia juga mempunyai pasukan bomba lengkap peralatan untuk semua ladangnya. – 14 September, 2019.
Komen