KETUA gerakan Baju Merah
Jamal melancarkan beberapa protes yang agak keterlaluan sejak kebelakangan ini, termasuk hanya bertuala saja ketika membantah gangguan bekalan air di Ampang, dan paling terbaru memecahkan botol arak di luar bangunan setiausaha kerajaan (SUK) negeri Selangor, minggu lalu.
Jamal ditahan kerana tindakannya memecahkan botol arak itu, tetapi dibebaskan dua hari kemudian. Katanya, dia tidak akan berpatah balik daripada usahanya untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu yang menjejaskan rakyat.
Orang kuat Umno itu pada masa ini ialah ketua Bahagian Sungai Besar, dan melahirkan hasratnya untuk bertanding mendapatkan kedudukan jawatan tertinggi dalam Pemuda Umno.
Bagaimanapun, katanya cita-cita politiknya tidak ada kena mengena dengan sikapnya yang suka mencari perhatian itu.
“Apa saya buat ini untuk rakyat,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu temu bual baru-baru ini.
“Saya akan terus buat gimik seperti itu sehinggalah semua isu yang dibangkitkan, selesai.”
Walaupun kebanyakan protes dilakukannya ialah terhadap kerajaan negeri Selangor yang dipimpin pembangkang persekutuan, tetapi pemimpin Pakatan Harapan (PH), parti majoriti Cina DAP juga menjadi sasarannya.
Pada 30 September, Jamal mengadakan pasar jualan ikan segar pada harga murah dan menyalahkan DAP dan orang tengah Cina kerana berkomplot menaikkan harga supaya rakyat akan marah kepada kerajaan.
Dia akan mengadakan satu lagi pasar jualan ikan segar pada Sabtu ini di Padang Timur, Petaling Jaya, lokasi sama di mana PH akan mengadakan himpunan mega sebagai sebahagian siri jelajah “Love Malaysia, End Kleptocary”.
Berikut ialah sedutan temu bualnya bersama The Malaysian Insight.
TMI: Kenapa anda melakukan gimik seperti pecahkan botol arak, susun katil di depan bangunan kerajaan Selangor dan membantah krisis air dengan hanya memakai tuala?
Jamal: Bila kita adakah sidang akhbar, kita mahukan publisiti. Kita tidak mahu hantar memorandum dan surat kerana itu cara lama untuk buat semua ini dan ia tidak berkesan.
Apa saya buat, kesannya ialah mesej dapat dihantar dan ia berkesan.

Contohnya, saya datang bangunan SUK di Shah Alam tahun lalu pakai tuala untuk bantah krisis air di negeri ini dan Ampang, dan ia berkesan.
Jika saya datang pakai baju biasa, ia tidak akan ada kesan dan tidak dapat tarikh perhatian terhadap isu itu.
TMI: Pernahkah tindakan anda menjejaskan kerajaan negeri?
Jamal: Kami dapat selesaikan isu air, judi dan rumah urut di Sekinchan dan di kebanyakan tempat di Selangor. Tidak semua yang kami buat sudah berjaya tetapi sekurang-kurangnya ia peringatan kepada kerajaan negeri apa yang mereka ada sekarang adalah kerana rakyat.
TMI: Kenapa anda masih belum menyerang isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad), tetapi sebaliknya fokus kepada kerajaan Selangor?
Jamal: Umno ialah pembangkang di Selangor, jadi kami melihat isu dalam negeri ini. Jadi, saya tidak cakap fasal isu lain (1MDB) tetapi fokus pada isu di sini.
Dan juga, rakyat orang sudah bercakap mengenai 1MDB, tetapi ramai yang tidak mahu tahu apa penjelasan mengenai 1MDB.
Anda boleh cakap apa saja mengenai 1MDB, anda boleh jelaskan isu itu dengan bukti tetapi mereka di sebelah sana (pembangkang) mahu jawapan seperti apa yang mereka hendak. Jadi tidak ada gunanya lagi jelaskan isu itu.
TMI: Anda melahirkan hasrat untuk jadi ketua Pemuda Umno? Semua sikap anda sekarang bertujuan menarik perhatian ke arah diri anda? Ketua Pemuda Umno sekarang, Khairy Jamaluddin belajar di Oxford. Anda rasa anda layak untuk ambil alih tugasnya sebagai ketua Pemuda?
Jamal: Walaupun saya ada niat ke arah itu (jadi ketua Pemuda), pilihan raya umum akan datang lebih penting. Dan tidak, apa saya buat sekarang tidak ada kena mengena dengan cita-cita saya. Apa pun, apa salahnya (merebut jawatan itu)? Anda tidak semestinya perlu datang dari Oxford untuk jadi ketua Pemuda Umno.
TMI: Apa pendapat anda bila pengguna media sosial mempersendakan anda?
Jamal: Saya tidak peduli. Sama ada ia negatif atau positif tidak mengapa, apa yang penting ialah mesej yang hendak saya sampaikan itu diterima sebanyak mungkin.
Mereka itu Cuma pandai ke media sosial saja dan mempersendakan dan menghina saya.
Apa yang saya buat untuk rakyat. Jadi saya tidak memaksa sesiapa untuk bersetuju dengan apa saya buat. Kerana saya hanya menyuarakan masalah rakyat, terutama di Selangor.
Hinaan mereka tidak menjejaskan saya sikit pun. Malah jika mereka sumpah saya hari-hari pun, saya tidak akan kisah.
TMI: Anda pernah ditahan beberapa kali. Ia tidak melemahkan anda?
Jamal: Saya bersedia berdepan akibat daripada tindakan saya. Saya ditahan banyak kali, saya tidak ingat berapa kali. Saya masuk lokap dan direman. Saya tidak peduli semua itu sebab saya pemimpin rakyat.
Saya akan terus buat benda gimik sehingga isu yang saya bangkitkan itu diselesaikan.
Contohnya, krisis air di Ampang. Kami berdepan dengan gangguan air berkala. Selepas saya bangkitkan isu itu, kami tidak ada masalah air hingga sekarang. Dan kebanyakan kawasan sekitar Selangor yang ada isu air juga selesai.
Ia sama juga dengan pusat judi. Pihak berkuasa yang berkaitan mengambil tindakan dan tidak ada lagi mesin judi di sini.
TMI: Dari mana anda dapat dana untuk buat semua gimik itu?
Jamal: Duit untuk buat semua gimik itu datang daripada dana di bawah gabungan kami kumpulan persatuan sivil (Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia). Kami ada 448 persatuan dari seluruh Malaysia dan 200 berpangkalan di Selangor.
Semua kumpulan itu akan memberikan derma kepada tabung itu. Saya tidak boleh beritahu berapa yang kami ada.
Dana itu tidak datang daripada Umno. Duit Umno untuk program mereka sendiri.
TMI: Anda salahkan DAP dan orang tengah Cina kerana berkonspirasi menaikkan harga ikan. Bagaimana anda tahu?
Jamal: DAP dah cakap ramai orang Cina sokong mereka. Jadi pada pandangan saya, kebanyakan vendor ikan ialah penyokong DAP. Kenapa bila dah dekat pilihan raya harga ikan jadi mahal, sebelum ini tidak pun.
Jadi andaian saya itu betul dengan apa yang sedang berlaku (penyokong DAP ialah orang tengah).
Apa saya buat ialah menangani isu kenaikan harga ikan. Saya mahu rakyat tahu harga ikan bukan seperti harganya sekarang.
TMI: Anda merancang mengadakan pasar ikan segar Sabtu ini di Padang Timur di Petaling Jaya, tempat sama di mana PH akan mengadakan himpunan mega “Love Malaysia, End Kleptocary”. Adakah anda cuba mengganggu himpunan itu? Seperti himpunan balas Baju Merah di Padang Merbok tahun lalu?
Jamal: Saya bukannya hendak ganggu himpunan itu. Jika merak hendak buat, mereka teruskanlah buat. jika mereka ada permit, itu hak mereka. Ada juga orang lain jual makanan dan minuman, jadi tidak ada salahnya dengan menjual ikan.
Saya akan bawa 10 tan ikan dalam tiga lori. Ikan itu datang dari Sungai Besar dan Perak. Saya juga tidak mohon permit untuk jual ikan. – 12 Oktober, 2017.
Komen