Jamal Baju Merah pecah botol arak di luar pejabat Azmin Ali


Noel Achariam

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos berkata ia sebagai membantah tindakan kerajaan negeri menimbang permohonan penganjuran pesta arak di Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2017.

JAMAL Md Yunos, hari ini datang lagi ke perkarangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, kali ini memecahkan 20 kotak botol arak sebagai membantah tindakan kerajaan negeri itu menimbang permohonan penganjuran pesta arak di Selangor.

Jamal yang mengetuai gerakan kaki protes Kumpulan Baju Merah memberitahu The Malaysian Insight, beliau mahu menyerahkan botol-botol arak itu kepada Menteri Besar Mohamed Azmin Ali dan exco-exco kerajaan negeri untuk memberitahu bahawa mereka boleh “mabuk dalam pejabat tetapi jangan biar rakyat Negeri Selangor ini mabuk dengan pesta arak.”

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu bagaimanapun tidak dibenarkan masuk ke kawasan Pejabat SUK yang dikunci oleh pengawal keselamatan. Jamal kemudian bertindak memecahkan botol-botol arak sebelum meninggalkan kawasan itu, begitu saja.

“Kami membantah kerajaan negeri tidak seharusnya membenarkan sebarang bentuk pesta yang ada kaitan dengan arak kerana ini akan merosakkan pemikiran anak-anak muda di Selangor.

“Kami datang sini untuk serahkan arak kepada mereka supaya kalau mereka hendak mabuk, mereka boleh mabuk di pejabat atau di rumah, tetapi jangan di tempat lain,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 5 Oktober, 2017.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen