Politik ikan kembung Jamal Yunos satu Selangor


Diyana Ibrahim

Harga ikan yang tinggi kerana komplot pembangkang dan orang tengah, kata Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 30 September, 2017.

HARGA ikan yang melambung tinggi di seluruh Malaysia sejak kebelakangan ini berpunca daripada pembangkang yang berpakat dengan orang tengah untuk menaikkan harga, kata Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos.

Katanya, pembangkang berpakat dengan peraih ikan supaya apabila harga ikan naik luar biasa, rakyat akan marah kepada kerajaan dan ini kempen mereka kerana sekarang ini sudah dekat dengan pilihan raya.

Jamal, yang terkenal dengan beberapa aksinya yang pelik-pelik untuk menarik perhatian, hari ini menganjurkan jualan murah ikan di Ampang, Selangor. Ini adalah program yang kedua selepas yang pertama di Sekinchan, seminggu yang lalu.

Empat jenis ikan — kembung, cencaru, selayang dan mabong — dijual pada harga RM5 sekilogram dan setiap orang dihadkan 2 kilogram seorang. Semua ikan habis terjual dalam masa lebih kurang satu jam.

The Malaysian Insight baru-baru ini mendedahkan masalah yang dihadapi oleh rakyat ekoran kenaikan harga ikan kembong yang dahulunya jadi hidangan rakyat tetapi sekarang dianggap makanan orang kaya.

Sejak setahun lalu, harga ikan kembung, ikan yang menentukan paras harga ikan pelbagai jenis yang lain, turun naik antara RM16 hingga RM22 sekilogram di serata negara.

Menurut Jamal, beliau tidak mensasarkan untuk membuat untung tetapi hanya mahu menunjukkan bahawa harga ikan yang naik ke darat sebenarnya tidak terlalu mahal seperti yang dijual di pasar.

“Kalau saya dapat RM4.80 sekilo kenapa harga di pasaran mencecah sehingga RM20. Jadi, inilah persoalannya.

“Harga ikan kembung di pasaran sepatutnya tidak lebih RM10 kerana ia ikan rakyat tapi harga ia naik sebab dijadikan bahan politik sesetengah pihak.

“Pihak ini adalah pembangkang dengan kartelnya. Apabila harga naik rakyat akan marah kerajaan. Mereka buat perkara ini  kerana sudah dekat pilihan raya,” katanya ketika ditemui di lokasi jualan ikan murah itu di perkarangan pejabat Umno Ampang, hari ini.

Orang ramai mula beratur pada jam 7 pagi lagi, walaupun jualan hanya bermula dua jam kemudian. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 30 September, 2017.

Atas alasan itu, Jamal turut mempertahankan tindakannya memasang kain rentang menuduh DAP sebagai dalang harga ikan naik dan mendakwa ini “hakikat sebenar yang perlu didedahkan”. Beliau menepis cadangan tindakannya bermotifkan politik untuk memancing undi.

Kalau di Sekinchan seminggu yang lalu, Jamal menjual 2.5 tan ikan dengan harga murah, di Ampang hari ini, jumlah itu ditambah sekali ganda jadi 5 tan. Katanya, dia membelanjakan lebih kurang RM30,000 untuk mendapatkan ikan tersebut di jeti-jeti di beberapa kawasan.

Jualan murahnya ini mendapat sambutan hangat. Orang ramai terutamanya penduduk di sekitar Ampang berbaris seawal 7 pagi, menunggu jualan bermula dua jam kemudian.

Sebanyak 5 tan ikan berjaya dijual di Ampang hari ini, tindakan terbaru Jamal Yunos yang dikenali kerana gimik politiknya yang pelik-pelik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 30 September, 2017.

Yuslini Mirhad, 52, mengganggap jualan murah ini peluang yang tidak harus dilepaskan walaupun itu bermakna terpaksa beratur panjang.

“Okay sangat macam ini, mana nak dapat sekarang harga murah, terutama ikan kembung. Ini kalau dekat pasar mahu sekilo 16, 20 ringgit.

“Kalau (beli) sini kita boleh jimat,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika disapa selepas membeli bahagiannya.

Rokiah Saad, 65, pula menyifatkan jualan murah seperti ini menguntungkan rakyat yang sudah terbeban dengan kenaikan harga pelbagai barang.

“Program ini bagus sangatlah, kalau tak kita tak mampu sangat nak beli ikan kembong. Ini memang bagus untuk rakyat,” katanya.

Tangan setiap orang yang melangkah keluar dengan wajah gembira dari tempat jualan ikan murah itu menjinjing beg plastik putih tertera wajah Jamal, lengkap dengan logo dacing Barisan Nasional dan logo Umno.

Di atas potret dan logo itu tertulis: “Program Pemimpin Umno Untuk Rakyat, Jualan Ikan Segar dan Harga Patut dari Jeti”.

Di sekitar lokasi jualan ikan murah itu dinaikkan kain rentang berbunyi: “Kenapa harga ikan mahal? Angkara orang tengah. Siapa sebenarnya orang tengah? Tokey ikan DAP.”

Sementara itu, seorang pesara kerajaan yang hanya mahu dikenali sebagai Wak, 66, berkata beliau datang bukan sebab harga ikan murah tetapi kerana ada pemimpin politik yang tampil melawan monopoli harga pasaran ikan oleh pemborong.

“Politik itu saya tidak kiralah, sebab saya datang ini sebagai rakyat yang memang susah dan terbeban. Jadi kalau ada pemimpin kata nak stabilkan harga ikan, siapa yang tak nak sokong,” katanya.

Menurut Jamal, jualan murah ini dibawa menjelajah seluruh Selangor tetapi jualan tetap akan diadakan di Sekinchan pada setiap Ahad.

Jamal sebelum ini disebut-sebut berminat untuk jadi calon kerusi Dewan Undangan Negeri Sekinchan yang kini dipegang oleh wakil rakyat DAP. – 30 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen