Apa dapat dibeli di pasar dengan RM100?


Zulkifli Sulong

Rakyat kini terpaksa bergelut dengan kenaikan harga barangan turut disebabkan GST. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2017.

BAGI kebanyakan penduduk di Lembah Klang, membeli-belah barangan runcit di pasar raya dan pasar mini dikatakan lebih mahal berbanding pasar basah tetapi suri rumah, Jamilah Yusof mendapati sebaliknya baru-baru ini.

Dia adalah antara ribuan suri rumah yang menyedari kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) diterjemahkan kepada harga barangan, tidak kira sama ada ia di pasar raya berhawa dingin di pusat membeli-belah atau pasar basah yang dikendalikan Dewan Bandaraya .

Jamilah menerima RM1,000 daripada suaminya untuk perbelanjaan barangan runcit dan makanan yang sejak dua tahun lalu dilakukan di pasar dan kedai berhampiran rumahnya di Rawang. Tetapi harga sarapan pagi yang dikenakan peniaga, RM11 baru-baru ini mendorongnya ke pasar basah untuk membeli barangan makanan berpatutan untuk dimasak.

“Mahalnya,” kata Jamilah yang terkejut kerana tiada harga ikan segar boleh didapati di bawah RM10 sekilogram.

Akhirnya, dengan RM100 dibawa ke pasar basah minggu lepas hanya mampu membeli beberapa barangan untuk dia dan empat ahli keluarga lain yang hanya mampu bertahan tiga hari sahaja.

Pengalaman Jamilah di pasar basah Country Homes Rawang baru-baru ini adalah situasi dunia sebenar tingginya IHP, yang menjadi ukuran inflasi setiap bulan, meningkat sejak awal tahun ini.

Menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), IHP mengesan kadar kenaikan harga bagi barangan dan perkhidmatan.

Jabatan Perangkaan berkata kadar kenaikan antara Januari dan Mac adalah 4.3% berbanding tempoh sama tahun lepas. Sebahagian besar peningkatan ini disebabkan kenaikan harga bagi makanan dan minuman bukan alkohol.

Kategori ini, yang merupakan bahagian terbesar IHP mencatatkan peningkatan sebanyak 4.2%.

Ia mungkin menjelaskan mengapa Jamilah terkejut dengan harga ikan selar yang selama ini hanya sekitar RM7 hingga RM8 sekilogram pada kali terakhir dia ke pasar, kini naik RM16 sekilogram.

Ikan jenahak RM45 sekilogram manakala ikan tenggiri berharga RM35 bagi setiap sekilogram.

“Penjual ikan menjual tenggiri ini RM22 sekilogram,” kata Jamilah sambil menunjukkan tenggiri papan yang sudah pecah perutnya.

Penjual ikan berkata mereka tidak lagi menjual ikan mahal seperti kurau dan bawal putih kerana khuatir tiada pelanggan yang membelinya.

Jamilah bertambah terkejut apabila ke gerai menjual daging. Harga daging segar tempatan mencecah RM30 sekilogram berbanding RM20 sebelum ini.

“Penjual memberitahu harga itu sudah dikira baik. Dia tidak tahu berapa harganya akan naik pada bulan Ramadan nanti,” katanya.

Situasi serupa juga berlaku apabila dia ke bahagian menjual sayur. Harga peria sudah mencecah RM9 sekilogram, sawi putih RM8 sekilogram manakala tomato RM4 sekilogram.

“Ketika ditanya, hampir kesemua peniaga di pasar menyalahkan GST (cukai barangan dan perkhidmatan). Ketika dikatakan kebanyakan barangan ini dikecualikan daripada GST, mereka kata petrol, tambang lori, plastik bungkus semuanya dikenakan GST,” kata Jamilah memberitahu The Malaysian Insight.

Hasilnya selepas sejam berbelanja, Jamilah menghabiskan RM100 yang dibawanya membeli 1kg daging (RM30), 1kg ikan jenahak (RM45), 1kg ikan selar (RM16) dan beberapa jenis sayur berharga RM20. Dia juga terpaksa mengeluarkan tambahan RM11 bagi perbelanjaannya itu.

Jamilah terbayang, apakah yang boleh dibeli isteri pemandu teksi, polis berpangkat rendah, pekerja dewan bandar raya yang gaji mereka sekitar RM2,000 apabila mereka ke pasar.

Menurut tinjauan Institut Darul Ehsan (IDE) baru-baru ini, isu kos hidup dan tata kelola yang baik menjadi kebimbangan utama di kalangan pengundi.

Ia juga mendapati 78% daripada responden tidak bersetuju dengan pelaksanaan GST, yang diperkenalkan pentadbiran Najib Razak pada 2014 dan secara meluas dipersalahkan kerana menyebabkan kenaikan harga barang.

Kira-kira 73% daripada responden juga tidak bersetuju dengan penerusan GST walaupun ia sumber penting pendapatan negara.

Tetapi ia lebih daripada sekadar GST yang menyebabkan kenaikan harga, kata penganalisis, menegaskan turun naik mata wang dan harga lebih baik bagi bahan makanan tersebut di luar Malaysia menyebabkan kemerosotan bekalan yang mengakibatkan kenaikan harga di pasaran tempatan. – 22 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen