Terima kasih sebab tidak berhimpun, kata ketua polis KL


Alfian Z.M. Tahir

Kelihatan polis berkawal dan memantau keadaan di sekitar kawasan Brickfields. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 24 Ogos, 2019.

KETUA Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim memuji penganjur himpunan anti-Zakir Naik dan orang awam kerana tidak meneruskan hasrat untuk mengadakan bantahan itu di Brickfields.

Mazlan berkata situasi di kawasan itu terkawal tetapi beberapa jalan terpaksa ditutup bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Kami mahu keadaan tenteram dan aman. Terima kasih kerana tidak datang ke himpunan dan memberi kerjasama kepada kami,” katanya.

“Bagaimanapun jika ada pihak yang berdegil kami akan ambil tindakan tegas,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Little India, Brickfields hari ini.

Mazlan juga berkata siasatan berhubung kes itu masih berjalan dan polis masih mengenalpasti mereka yang terlibat menganjurkan himpunan itu.

“Isu ini sudah berakhir. Jika anda bercadang untuk menganjurkan himpunan, jangan lakukannya. Ini bagi mengelakkan situasi menjadi lebih teruk,” katanya.

Himpunan ‘Katakan Tidak kepada Zakir Naik’ dijadualkan berlangsung pada pukul 2 petang, tetapi penganjurnya, Shankar Ganesh Siridharan membatalkan bantahan itu awal hari ini selepas digesa Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, mesej dalam aplikasi bual WhatsApp masih tersebar menggesa rakyat untuk terus berhimpun hari ini, dengan peringatan supaya bersurai secara aman.

Himpunan yang dijadualkan berlangsung hari ini itu bertujuan meluahkan sentimen orang India Malaysia tentang Zakir yang didakwa menghina penganut Hindu dalam ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan awal bulan ini.
 
Himpunan hari ini juga bertujuan membantah isu lain seperti pengajaran seni khat Jawi di sekolah vernakular serta kemiskinan dan penindasan orang India.

Polis menyekat beberapa jalan raya yang menghala ke Little India di Brickfields bagi menghalang orang ramai berhimpun di Brickfields.

Jalan-jalan yang ditutup sejak awal pagi tadi dengan kenderaan tidak dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan, menjadikan kawasan beli-belah dan pelancongan ibu negara itu dilihat sepi berbanding hari Sabtu sebelum ini yang kebiasaannya menyaksikan pengunjung memenuhi kawasan tersebut.  – 24 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen