HIMPUNAN membantah penceramah kontroversi Dr Zakir Naik yang dijadualkan berlaku pada jam 2 petang di Brickfields hari ini sudah dibatalkan penganjurnya, Shankar Ganesh Siridharan yang berkata ia dibuat kerana permintaan Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, mesej dalam aplikasi bual WhatsApp masih tersebar menggesa rakyat untuk terus berhimpun hari ini, dengan peringatan supaya bersurai secara aman.
Shankar berkata beliau tidak mahu mengadakan himpunan itu tanpa permit dan tawaran Anwar untuk menemuinya dan berbincang adalah kaedah lebih baik untuk menyelesaikan isu kontroversi itu.
“Saya tak mahu lawan undang-undang. Tanpa permit, saya tak mahu orang awam terkesan dengan sebarang masalah. Saya lebih suka adakan (himpunan) dengan permit.
“Anwar Ibrahim telefon saya dan meminta himpunan dibatalkan. Dia berjanji akan membantu orang India. Dia beri kami temujanji dengannya minggu depan untuk berbincang isu ini. Saya sudah setuju dengan permintaannya dan saya mahu percaya kepada janjinya,” kata Shankar dalam kenyataan diberikan kepada The Malaysian Insight.
Himpunan yang dijadualkan berlangsung hari ini itu bertujuan meluahkan sentimen orang India Malaysia tentang Zakir yang didakwa menghina penganut Hindu dalam ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan awal bulan ini.
Zakir didakwa menuduh penganut Hindu Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Zakir menafikan tuduhan itu, menyifatkan kandungan ceramahnya disalah tafsir.
Himpunan hari ini juga bertujuan membantah isu lain seperti pengajaran seni khat Jawi di sekolah vernakular serta kemiskinan dan penindasan orang India.
Shankar berkata matlamat himpunan adalah “untuk mendapatkan hasil” dan memandangkan Anwar bersetuju bertemu dengannya untuk membincangkan masalah orang India, beliau berharap pemimpin utama PKR yang juga bakal perdana menteri itu boleh memenuhi tuntutan mereka. – 24 Ogos, 2019.
Komen