Himpunan bantah Zakir Naik batal, Brickfields sepi kurang pengunjung 


Alfian Z.M. Tahir

Kelihatan polis berkawal dan memantau keadaan di sekitar kawasan Brickfields. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 24 Ogos, 2019.

POLIS menyekat beberapa jalan raya yang menghala ke Little India di Brickfields bagi menghalang orang ramai berhimpun selepas perhimpunan untuk membantah pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik dibatalkan.

Jalan-jalan yang ditutup sejak awal pagi tadi dengan kenderaan tidak dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan, menjadikan kawasan beli-belah dan pelancongan ibu negara itu dilihat sepi berbanding hari Sabtu sebelum ini yang kebiasaannya menyaksikan pengunjung memenuhi kawasan tersebut.

Perhimpunan ‘Say No to Zakir Naik’ sebelum ini dijadualkan akan bermula pada pukul 2 petang hari ini, namun penganjur Shankar Ganesh Siridharan mengumumkan perhimpunan tersebut dibatalkan dengan mengatakan beliau telah digesa Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk membatalkannya. 

Walaupun pembatalan perhimpunan tersebut telah diumumkan oleh Shankar, masih terdapat mesej WhatsApp yang beredar di kalangan kumpulan kecil dan beberapa individu hari ini yang menggesa orang ramai untuk berhimpun di kawasan tersebut.

Perhimpunan hari ini adalah untuk menunjukkan sentimen masyarakat India Malaysia mengenai Zakir, yang didakwa menghina penganut Hindu Malaysia semasa ceramahnya di Kota Baru, Kelantan awal bulan ini.

Perhimpunan hari ini juga bertujuan membantah isu-isu lain, seperti pengajaran kaligrafi khat kepada murid-murid Tahun 4 di sekolah jenis kebangsaan Tamil dan Cina, di samping isu-isu kemiskinan dan peminggiran kaum India.

Seorang penjual bunga yang tidak mahu namanya didedahkan memberitahu The Malaysian Insight bahawa kawasan itu telah aman sejak himpunan semalam disuraikan pihak berkuasa.

Beliau merujuk himpunan “Puratchi” yang diadakan oleh sekumpulan kaum India Malaysia bagi membantah kaligrafi khat diperkenalkan kepada murid Tahun 4 murid di sekolah jenis kebangsaan Tamil dan Cina. “Puratchi” bermaksud “revolusi” dalam bahasa Tamil.

Penjual bunga, yang telah mengendalikan kedainya di Brickfields selama lebih dari 20 tahun itu berkata beliau yakin tidak akan ada perhimpunan yang akan berlaku.

“Ia tidak akan berlaku, saya tahu terdapat mesej beredar tetapi di sini aman.

“Polis telah berada di sini sejak awal pagi, mereka telah tutup jalan untuk elak sebarang kejadian yang tidak diingini dan setakat ini semuanya baik-baik saja,” katanya.

Ditanya sama ada dia bersetuju dengan bantahan itu, lelaki itu berkata bahawa himpunan tersebut tidak patut diadakan ketika isu “masih panas”.

“Terdapat beberapa perkara yang saya setuju, tetapi perkara-perkara ini sedang panas. Lebih baik bagi mereka mengadakan dialog dan bukannya menunjuk perasaan tidak puas hati di jalanan.” katanya.

Dua lelaki ditahan pihak polis untuk disoal siasat pada perhimpunan anti-khat semalam.

Umagandhan Krishnan, penyelaras utama perhimpunan Puratchi, dan Pengerusi Persatuan Pelajar Cina Malaysia Tan Boon Tak telah dibebaskan pada tengah hari hari ini selepas semalaman berada dalam tahanan polis.

Pemangku OCPD Brickfields Arifai Tarawe mengesahkan pembebasan mereka ketika dihubungi.

Seorang pegawai polis yang bertugas di Brickfields hari ini berkata mereka masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga walaupun perhimpunan hari ini dibatalkan.

“Kita perlu ambil langkah berjaga-jaga dengan menyekat jalan raya. Kami sedar bahawa mereka telah bersetuju untuk batal himpunan tetapi kami tidak boleh ambil sikap sambil lewa,” kata beliau lagi. – 24 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen