Kaum, agama dan Raja makin kerap jadi isu, kata Muhyiddin


Lee Chi Leong

Polis kerap memberikan taklimat tentang kecenderungan penggunaan isu kaum, agama dan Raja di Malaysia kepada Menteri Dalam Negeri MUhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2019.

HASIL risikan polis mendapati wujud peningkatan kecenderungan menggunakan kaum, agama dan Raja untuk mencetuskan isu dalam negara, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Polis kerap memberi taklimat perkembangan terkini kepadanya dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tentang perkara itu, katanya kepada wartawan di Kuala Lumpur hari ini.

“Data-data yang dikumpul oleh pihak polis ditaklimatkan kepada saya dan PM menunjukkan bahawa sudah terdapat kecenderungan tidak baik berasaskan ‘3R’ itu.

“Peristiwa-peristiwa yang tercetus di banyak tempat dalam negara kita , di satukan bilangan jumlah agak hampir dua kali ganda berbanding tahun lalu,” katanya pada sidang media selepas berucap di bengkel pembinaan negara di Akademi Kenegaraan, Kuala Lumpur hari ini.

Polis malam tadi memberikan jumlah terkini laporan dibuat dan siasatan yang sedang berlangsung terhadap sekurang-kurangnya tiga isu utama yang mencetuskan kemelut awam sejak beberapa minggu lepas.

Ia melibatkan dakwaan menghina dikeluarkan penceramah kontroversi Dr Zakir Naik terhadap orang India dan Cina, desakan menolak pengajaran seni khat Jawi kepada pelajar Tahun 4 sekolah vernakular dan pengibaran bendera Malaysia secara terbalik.

Muhyiddin berkata selaku menteri bertanggungjawab ke atas isu keselamatan negara, beliau sudah mengarahkan polis supaya tidak bertolak ansur dengan pihak yang menggunakan isu kaum, agama dan Raja untuk memecah belahkan masyarakat.

“Saya dah keluarkan amaran, amaran tegas dan saya dah beri maklum kepada pihak berkuasa polis, supaya kita tak boleh bertolak ansur. Dalam keadaan sebegini tak boleh biarkan, dan kalau ada pihak yang tidak bertanggungjawab, buat sesuatu yang boleh mencetuskan sentimen perkauman keagamaan, atau soal institusi Raja dan lain, kita tak boleh bertolak ansur.

“Tindakan akan diambil. Dan (tindakan) akan terus diambil, bukan setakat beri amaran sahaja.”

Muhyiddin juga menggesa rakyat serta pemimpin politik, organisasi bukan kerajaan dan persatuan berasaskan kaum memahami amarannya itu.

Kenyataannya hari ini dikeluarkan susulan himpunan yang diadakan semalam untuk membantah isu khat Jawi.

Sebuah lagi bantahan berkemungkinan diadakan petang ini untuk membantah isu Zakir Naik di Brickfields. Penganjurnya sudah membatalkan himpunan itu, tetapi mesej masih tersebar luas mengajak orang awam datang ke Brickfields petang ini menerusi WhatsApp. – 24 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen