Polis hampir selesai siasat Zakir Naik


Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, polis semakin hampir menamatkan siasatan terhadap penceramah kontroversi Dr Zakir Naik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2019.

POLIS semakin hampir menamatkan siasatan terhadap penceramah kontroversi Dr Zakir Naik, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador malam ini.

Sebanyak 515 laporan polis dibuat terhadap penceramah berkenaan yang didakwa menyinggung perasaan kaum India dan Cina ketika menyampaikan sebuah ceramah di Kota Bharu Kelantan awal bulan ini.

Abdul Hamid berkata, lelaki warganegara India itu sedang disiasat di bawah Kanun Keseksaan oleh Unit Siasatan Jenayah Terancang Bukit Aman (D5).

“Dr Zakir dan beberapa saksi telah dipanggil untuk mengambil kenyataan mereka. Siasatan hampir lengkap dan kertas kerja akan dikemukakan kepada Peguam Negara tidak lama lagi.

“KPN telah mengeluarkan perintah melarang Dr Zakir berceramah sehingga siasatan selesai.

“Dr Zakir bersetuju untuk mematuhi perintah itu untuk menghentikan siri ceramahnya di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Hamid berkata, siasatan sedang dijalankan ke atas isu-isu sensitif lain yang termasuk kontroversi khat/Jawi dan Jalur Gemilang yang dikibarkan secara terbalik.

Beliau tidak menyatakan secara khusus mengenai kes bendera terbalik tetapi berkata sebanyak 69 laporan polis telah dibuat dan sembilan kertas siasatan dibuka di bawah Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Kesalahan kecil 1955.

Baru-baru ini dilaporkan bahawa bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik oleh seorang pekerja di sebuah sekolah antarabangsa di Pahang dan di rumah seorang lelaki warga emas di Butterworth.

Beliau berkata siasatan juga akan dijalankan berterusan berhubung kenyataan dibuat kumpulan pendidikan Cina Dong Zong dan Pengerusi Tan Tai Kim serta setiausaha Ng Chai Heng telah memberikan kenyataan mereka di Bukit Aman semalam.

Sebanyak 24 laporan polis telah dibuat berhubung isu khat.

Ketua Polis Negara berkata, polis telah memberi maklumat mengenai kes-kes berkenaan sebagai amaran kepada orang ramai supaya tidak menyuarakan sentiment dan isu perkauman.  – 23 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen