PENGASAS Gamuda Bhd Koon Yew Yin hadir di Balai Polis Jelapang di Ipoh hari ini berhubung kenyataannya terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dianggap sesetengah pihak sebagai menghina.
Beliau tiba di perkarangan balai polis berkenaan dengan menaiki kenderaan jenis BMW yang dipandu seorang wanita pada pukul 2.55 petang.
Wanita itu ketika ditemui pemberita selepas menurunkan Khoo di pintu masuk balai enggan memberi kenyataan, sebaliknya hanya mengucapkan terima kasih kepada lebih 10 pengamal media yang menunggu kehadiran mereka sejak 2.30 petang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Malim Nawar Leong Cheok Keng yang juga seorang peguam turut dilihat tiba pada pukul 3.10 petang.
Bagaimanapun pengamal media tidak dapat memasuki balai polis itu berikutan pintu pagar dikunci oleh pihak polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed dilaporkan berkata Koon dipanggil pihak polis susulan laporan yang diterima terhadap ahli perniagaan itu kerana kenyataan yang didakwa menghina ATM pada 14 Ogos lepas.
Bagaimanapun, Koon telah membuat permohonan maaf setelah menerima tekanan pelbagai pihak termasuk daripada Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.
Selesai memberi keterangan selama dua jam setengah, Koon kemudian dilihat keluar dari Balai Polis Jelapang bersama isteri dan Leong pada pukul 5.30 petang.
Koon bagaimanapun enggan memberikan sebarang kenyataan kepada pihak media yang mula menunggu di perkarangan balai polis itu sejak pukul 2.30 petang.
“Polis menasihatkan saya supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media,” katanya.
Sementara itu, Leong yang bertindak sebagai peguam bela Koon berkata proses memberi keterangan dikendalikan oleh pegawai polis dari dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman dan ahli perniagaan itu memberi kerjasama sebaiknya.
“Pihak polis nampaknya berpuas hati dengan kerjasama diberikan oleh Koon. Setakat ini polis tidak akan memanggil Koon lagi untuk mengambil keterangannya,” katanya.
Leong berkata polis membuka siasatan kes itu di bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. – Bernama, 19 Ogos, 2019.
Komen