PUTRAJAYA mahu membeli 15 lebuh raya dengan nilai sebanyak RM43 bilion melalui terbitan kertas hutang kepada pemegang konsesi, lapor New Straits Times hari ini.
Dalam laporannya, memetik sumber akhbar berbahasa Inggeris berkata kerajaan merancang membeli lebuh raya PLUS Malaysia Sdn Bhd bernilai RM30.8 bilion, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dengan harga RM3.1 bilion, Gamuda Sdn Bhd (RM5.6 bilion) dan IJM Corp Bhd (RM2.7 bilion).
Akhbar itu melaporkan jika semuanya berjalan lancar, pengguna jalan raya akan menikmati penjimatan sehingga 45% dari masa ke masa sebelum jalan bebas tol direalisasikan pada 2038.
Ia berkata Khazanah Nasional Bhd melalui syarikat bertujuan khas (SPV) akan mengeluarkan kertas hutang kekal.
Satu lagi sumber memberitahu akhbar itu, perjanjian yang merupakan inisiatif penswastaan, tidak akan membebankan kerajaan dengan hutang yang tinggi berjumlah RM42 bilion melainkan ia meneruskan pembelian konsesi.
Pakatan Harapan menjadikan pemansuhan tol sebagai sebahagian daripada manifesto dan sejak berkuasa telah berusaha ke arah itu.
Putrajaya sebelum ini berkata ia merancang mengambil alih empat lebuh raya bertol dan menggantikan tol dengan caj kesesakan yang akan berubah semasa waktu puncak dan sebaliknya.
“Sekiranya pengambilalihan lebuh raya berjaya, kerajaan bercadang untuk menghapuskan mekanisme tol sedia ada.
“Caj kesesakan akan diperkenalkan di mana penumpang hanya akan membayar caj kesesakan bersamaan dengan tol sedia ada selama enam jam semasa waktu puncak dalam sehari,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini.
Semasa tempoh luar waktu antara jam 11 malam hingga 5 pagi, penumpang akan menikmati perjalanan di lebuh raya secara percuma.
Bagaimanapun, pada waktu biasa yang lain, para penumpang akan menikmati kadar diskaun sehingga 30% berbanding kadar tol sedia ada.
Pejabat Perdana Menteri berkata kerajaan memulakan perbincangan dengan Gamuda Bhd untuk berunding untuk pembelian empat lebuh raya tersebut.
Ia membabitkan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), dan Terowong SMART.
Gamuda mempunyai kepentingan majoriti dalam lebuh raya ini. – 19 Ogos, 2019.
Komen