TAIKUN perniagaan Koon Yew Yin menulis surat permohonan maaf kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana mengeluarkan kenyataan yang menghina anggota tentera.
Dalam satu kenyataan, pengasas IJM Corporation dan Gamuda Berhad berkata beliau sudah menghantar surat itu beberapa hari lalu dan mengaku kesilapannya menulis perkara itu di dalam blognya.
Dalam blog itu, Koon mengakui kesilapan apabila mendakwa anggota tentera tidak pernah menembak dan hanya tahu makan dan tidur sahaja serta perlu dikerah bekerja di ladang Felda.
“Saya telah menulis surat meminta maaf kepada anggota tentera di atas kesilapan saya.
“Saya kesal kerana menggunakan perkataan yang menghina ketika meminta anggota tentera yang merupakan bahagian terbesar dalam perkhidmatan awam supaya membantu Felda.
“Saya tiada niat untuk menghina sesiapa. Saya meminta maaf di atas kesilapan saya. Saya benar-benar menghargai pengorbanan dan sumbangan anggota tentera kepada negara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Sebelum ini, beliau juga sudah membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan kontroversinya itu.
Parti kerajaan dan pembangkang serta kumpulan pendesak, mengkritik kenyataan taikun perniagaan itu.
Mejar bersara Razali Zakaria yang mewakili Gerakan Memartabat Pejuang Negara Malaysia membuat laporan polis terhadap Koon di ibu pejabat polis daerah (IPD) Wangsa Maju.
Dalam laporan polis itu, Razali berkata Koon telah menghina profesionalisme dan kredibiliti tentera Malaysia serta mencetuskan kebencian terhadap tentera.
Pada Khamis, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata polis akan menyiasat Koon di bawah Seksyen 504 kerana sengaja menghina dengan niat untuk menggugat keamanan.
Koon dijangka dipanggil polis pada Isnin. – 18 Ogos, 2019.
Komen