NGO pendidikan Tamil juga nafi setuju terima khat


Noel Achariam

Presiden Tamil Foundation Malaysia Thiraviam C. Maruthai berkata ada perbezaan antara pengenalan mengenai khat dan pengajaran menulis khat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 7 Ogos, 2019.

NGO pendidikan Tamil, Tamil Foundation Malaysia menolak pengajaran khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 dan berkata pertemuan dengan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching semalam tidak mencapai sebarang persetujuan.

Presidennya, Thiraviam C. Maruthai berkata ada perbezaan antara pengenalan mengenai khat dan pengajaran menulis khat.

“Dalam buku Bahasa Melayu Tahun 5 bagi sekolah vernakular terdapat satu tajuk mengenai Jawi, Tamil dan Mandarin.

“Ia untuk memperkenalkan jenis-jenis huruf kepada murid. Kalau untuk pengenalan, kita tak ada masalah.

“Tetapi kita tak setuju dengan pengajaran Jawi dan khat,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.

Thiraviam berkata demikian bagi menjelaskan mengenai pertemuan dengan Teo yang turut disertai NGO pendidikan Cina semalam.

Persatuan pendidikan Cina, Dong Zong hari ini menafikan kenyataan timbalan menteri pendidikan semalam yang kumpulan pendidikan vernakular menerima pengajaran khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4. 

Dong Zong berkata masih banyak lagi perbincangan perlu diadakan sebelum pengajaran khat dilaksanakan.

Teo semalam memberitahu pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu yang kementerian mencapai persetujuan dengan kumpulan pendidikan Cina dan Tamil berhubung pengenalan tulisan khat dalam sukatan pelajaran Tahun 4 Bahasa Melayu tahun depan.

Beliau berkata mesyuarat itu bersetuju tujuan di sebalik langkah kementerian adalah untuk memperkenalkan penulisan khat kepada pelajar, dan bukannya belajar jawi.

Menurut Thiraviam, pada pertemuan semalam Teo berkata tajuk khat akan menjadi seperti “mempelajari seni dan melukis”.

“Kalau seni, kenapa tidak diletak di bawah pendidikan seni?” katanya. – 7 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini.            


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen