SATU petisyen dimulakan dalam talian untuk mendesak Senator PKR Mohd Imran Abd Hamid meletak jawatan atas kenyataan kontroversi mengenai kes rogol yang dianggap menghina wanita.
Sejak dimulakan tiga hari lalu, petisyen berkenaan sudahpun mengutip lebih 12,000 tandatangan untuk mendesak bekas ahli Parlimen Lumut itu meletak jawatan.
Ia dilancarkan selepas Imran mencadangkan undang-undang baharu dibentuk untuk melindungi lelaki daripada tergoda dan terjebak dengan jenayah seperti rogol.
Katanya, perlakuan, percakapan dan pemakaian kaum wanita merupakan bentuk gangguan seksual yang boleh menyebabkan kaum lelaki tergoda.
Ia boleh menyebabkan perbuatan seperti sumbang mahram, rogol, pornografi dan raba katanya semasa perbahasan di Dewan Negara.
Cadangan itu menerima kecaman pelbagai pihak termasuk Presiden PKR Anwar Ibrahim yang menggesa beliau memohon maaf.
Menurut Anwar tumpuan sepatutnya diberikan kepada usaha memartabatkan wanita dengan memperkasa undang-undang untuk menolak sebarang serangan seksual terhadap golongan itu.
Ia turut meraih teguran Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berkata, kenyataan Imran menunjukkan wakil rakyat perlu dididik dengan sensitiviti gender.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh turut menempelak cadangan Imran kerana tidak cakna dengan kes jenayah seksual yang turut dihadapi bayi dan kanak-kanak.
Imran memohon maaf dan menarik balik cadangan itu pada Rabu.
Katanya, beliau tidak menyangka pandangan itu dilihat sebagai kesalahan dan menyinggung kaum perasaan kaum wanita dan juga lelaki.
“Walaupun niat saya ikhlas tetapi tidak menyangka ia dilihat kesilapan besar yang telah menyinggung ramai kaum wanita dan tidak kurang juga kaum lelaki kerana dianggap menghina,” katanya. – 4 Ogos, 2019.
Komen