Senator PKR minta maaf cadang akta lindungi lelaki digoda


Senator Mohamad Imran Abd Hamid hari ini minta maaf kerana mencadangkan akta gangguan seks melindungi lelaki ketika berbahas di Dewan Negara semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2019.

SENATOR Mohamad Imran Abd Hamid meminta maaf kerana mencadangkan akta gangguan seks untuk melindungi lelaki semasa berbahas di Dewan Negara semalam.

Senator PKR itu tidak sangka cadangan yang dibuat katanya, dengan niat ikhlas, mencetuskan kontroversi, selepas dikecam pelbagai pihak termasuk dari partinya sendiri.

“Walaupun niat saya ikhlas tetapi tidak menyangka ia dilihat kesilapan besar yang telah menyinggung ramai kaum wanita dan tidak kurang juga kaum lelaki kerana dianggap menghina.

“Oleh yang demikian saya mohon jutaan maaf dan menarik balik cadangan yang saya kemukakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Awal hari ini, Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa Imran supaya menarik balik cadangan itu, yang beliau sifatkan sebagai tidak masuk akal.

“PKR menolak cadangan tersebut kerana ia dilihat tidak munasabah dan menghina golongan wanita,” kata Anwar.

Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson berkata kenyataan Imran memberi gambaran yang lelaki pincang moral dan kawalan diri sehinggakan mudah menyerah kepada godaan untuk melakukan jenayah terkutuk terhadap wanita.

Semalam, Imran mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan penggubalan undang-undang melindungi lelaki daripada godaan wanita yang menyebabkan mereka melakukan jenayah seksual.

“Wujudkan satu akta gangguan seksual ke atas kaum lelaki akibat perlakuan, percakapan dan pemakaian kaum wanita yang boleh sebabkan kaum lelaki tergoda hingga boleh sebabkan perbuatan seperti sumbang mahram, rogol, meraba, pornografi dan sebagainya,” katanya di Dewan Negara semalam.

Cadangan itu turut menerima kecaman Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh yang berkata: “Tuhan tidak cipta manusia seperti binatang. Manusia diberikan kuasa untuk menentukan, berfikir dan mengekang tindakan.” – 1 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen