SUSULAN cadangan supaya undang-undang digubal untuk “melindungi lelaki daripada godaan wanita” supaya jenayah gangguan seksual tidak berlaku, Senator Mohd Imran Abd Hamid (PKR) dikecam pelbagai pihak.
Hari ini, Presiden PKR Anwar Ibrahim turut mengeluarkan kenyataan bahawa cadangan tersebut tidak logik dan menghina wanita.
“PKR menolak cadangan tersebut kerana ia dilihat tidak munasabah dan menghina golongan wanita,” katanya, menambah yang senator perlu menarik cadangan yang dibuat di Dewan Negara semalam.
Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson berkata, kenyataan Imran memberi gambaran yang lelaki pincang moral dan kawalan diri sehinggakn mudah menyerah kepada godaan untuk melakukan jenayah terkutuk terhadap wanita.
“Adalah lebih molek sekiranya kita memfokuskan terhadap agenda memartabatkan wanita dengan memperkasa undang-undang dalam menolak sebarang serangan seksual terhadap mereka.”
Semalam, Imran mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan penggubalan undang-undang melindungi lelaki daripada godaan wanita yang menyebabkan mereka melakukan jenayah seksual.
“Wujudkan satu akta gangguan seksual ke atas kaum lelaki akibat perlakuan, percakapan dan pemakaian kaum wanita yang boleh sebabkan kaum lelaki tergoda hingga boleh sebabkan perbuatan seperti sumbang mahram, rogol, meraba, pornografi dan sebagainya,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Cadangan itu bagaimanapun mendapat kecaman hebat termasuklah daripada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh yang berkata: :Tuhan tidak cipta manusia seperti binatang. Manusia diberikan kuasa untuk menentukan, berfikir dan mengekang tindakan.” – 1 Ogos, 2019.
Komen