SESI sensitif gender wajar dibuat untuk semua wakil rakyat bagi menyemai pemahaman mendalam tentang punca dan kesan keganasan terhadap wanita, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini.
Beliau mengulas cadangan Senator Mohamad Imran Abd Hamid daripada PKR yang mahu undang-undang melindungi lelaki daripada “godaan wanita” digubal.
“Walau pun Imran sudah meminta maaf dan menarik balik kenyataan itu, saya berpandangan sesi sensitif gender perlu dilaksanakan, terutama untuk wakil rakyat dipilih dan dilantik, supaya punca dan kesan keganasan terhadap wanita dapat difahami dengan lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, pemimpin politik perlu memainkan peranan memastikan wanita dan lelaki dilindungi daripada keganasan seksual.
Wan Azizah yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata tindakan menyalahkan wanita kerana jenayah dibuat lelaki tidak boleh diterima.
Jelasnya, wanita perlu dilindungi daripada jenayah dan tidak dipersalahkan kerana jadi mangsa.
“Menyalahkan wanita kerana jenayah berlaku disebabkan caranya bercakap atau berpakaian adalah salah.”
Tambahnya, pandangan sebegitu tiada tempat dalam Malaysia Baharu.
“Saya terkejut bila membaca cadangan Imran yang perlu ada undang-undang gangguan seksual untuk melindungi lelaki daripada cara wanita bercakap dan berpakaian, yang katanya boleh jadi punca lelaki tergoda, yang kemudiannya menyebabkan mereka melakukan sumbang mahram, rogol, cabul dan pornografi antara lainnya.”
Bagaimanapun, beliau mengalu-alukan permohonan maaf Imran itu.
Imran sudah memohon maaf dan menarik balik cadangan itu selepas menerima kecaman pelbagai pihak termasuklah daripada Presiden PKR Anwar Ibrahim.
“Walaupun niat saya ikhlas tetapi tidak menyangka ia dilihat kesilapan besar yang telah menyinggung ramai kaum wanita dan tidak kurang juga kaum lelaki kerana dianggap menghina.
“Oleh yang demikian saya mohon jutaan maaf dan menarik balik cadangan yang saya kemukakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – 1 Ogos, 2019.
Komen