Tak guna latihan peka jantina kalau pemikiran masih sama, kata aktivis


Ragananthini Vethasalam

Senator Mohamad Imran Abd Hamid semalam mencadangkan satu akta gangguan seksual ke atas kaum lelaki akibat perlakuan, percakapan dan pemakaian kaum wanita yang boleh menyebabkan kaum lelaki tergoda diwujudkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2019.

SESI kepekaan jantina untuk wakil rakyat bagi meningkatkan pemahaman mengenai kesan keganasan terhadap wanita tidak berguna jika mereka masih dibelenggu pemikiran seksis, kata aktivis.

Mereka berkata demikian bagi mengulas cadangan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail supaya mewujudkan sesi kepekaan jantina (gender sensitization) kepada wakil rakyat.

Wan Azizah berkata sesi tersebut wajar dibuat untuk semua wakil rakyat bagi menyemai pemahaman mendalam tentang punca dan kesan keganasan terhadap wanita.

Beliau mengulas cadangan Senator Mohamad Imran Abd Hamid daripada PKR mencadangkan satu akta gangguan seksual ke atas kaum lelaki akibat perlakuan, percakapan dan pemakaian kaum wanita yang boleh menyebabkan kaum lelaki tergoda diwujudkan.

Mohamad Imran kemudian menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf selepas dikecam pelbagai pihak termasuk pemimpin partinya sendiri.

Menurut aktivis hak asasi wanita, kenyataan sedemikian menunjukkan wakil rakyat perlu dididik mengenai isu jantina. Kenyataan itu juga mencerminkan budaya patriarki, kata mereka.

Pengasas The G-Blog Emellia Shariff berkata ini bukan kali pertama Mohamad Imran mengeluarkan kenyataan seperti itu dan ia membimbangkan.

“Walaupun kita boleh lakukan sesi kepekaan jantina, tetapi apa yang membimbangkan ialah bagaimana orang yang berpemikiran seksis boleh dilantik menjadi senator, lebih-lebih lagi ini bukan kali pertama beliau keluarkan kenyataan begitu,” katanya.

“Seperkara lagi, kita kena lihat macam mana boleh ada senator seperti ini di Parlimen? Senator Mohamad Imran adalah bekas ahli Parlimen Lumut, kalah pada pilihan raya 2018. Kemudian dilantik semula sebagai senator. Selepas keluarkan kenyataan begitu, rakyat Malaysia berhak mempersoalkan kelayakan beliau untuk duduk dalam Dewan Negara.”

Jelas Emellia, ahli politik yang berpandangan seperti Mohamad Imran iaitu memandang rendah terhadap kaum wanita dan menganggap wanita sebagai objek seks menggambarkan budaya patriarki sudah lama berakar umbi dalam masyarakat. – 1 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen