Isu seks Azmin dan Anwar, Najib persoal perbezaan pendirian Dr Mahathir


Noel Achariam

Najib Razak mempersoalkan pendirian Dr Mahathir Mohamad dalam isu seks melibatkan Azmin Ali dan Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 24 Julai, 2019.

NAJIB Razak hari ini mempersoalkan perbezaan pendirian Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam menangani isu video seks dikaitkan dengan Azmin Ali dan tuduhan liwat dihadapi Anwar Ibrahim pada 1998.

Dalam catatan di Twitter tengahari tadi, Najib menulis: “Tahun 1998: Ini isu moral, bukan isu politik. Tahun 2019: Ini isu politik, bukan isu moral.”

Walaupun tidak menyebut nama sesiapa, tulisan itu dipercayai merujuk kepada isu melibatkan Azmin dan Anwar.

Semalam, Dr Mahathir berkata beliau tidak mahu masuk jerat dalang video seks itu yang didakwa melibatkan salah seorang menteri kabinetnya.

Jelasnya, beliau tidak mempertahankan Azmin, tetapi menolak politik kotor dan tidak mahu dijadikan “alat” pihak tertentu.

“Saya tak pertahankan dia. Saya kata politik kotor sebegini tidak akan menjerat saya untuk jadi sebahagian daripadanya,” katanya.

Dr Mahathir berkata jika Azmin disingkirkan kerana video seks itu, dalang skandal itu akan menang.

“Ini bukan soal moral. Ini adalah masalah politik. Ia akan ditangani sebagai isu politik,” tulisnya di blog chedet.cc.

Anwar yang pernah dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan berulang kali menegaskan yang tuduhan liwat ke atasnya pada 1998 dan 2010 adalah palsu.

Azmin terkait dengan skandal itu selepas Haziq Abdullah Abdul Aziz membuat pengakuan beliau dan Azmin adalah pelaku video seks itu.

Azmin sudah menafikan dakwaan itu. Polis sedang menjalankan siasatan.

Dr Mahathir sebelum ini pernah berkata beliau “tidak ada pilihan” selain memecat Anwar pada 1998. 

“Daripada sudut pandang politik, saya tak akan buat begitu. Ketika saya jadi perdana menteri, saya berjanji dengan diri sendiri tidak akan lakukan perkara yang boleh buat rakyat bencikan saya.” – 24 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen