Dr Mahathir enggan jadi alat singkir Azmin


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata dalang di sebalik skandal itu mahu individu yang menjadi sasaran tersebut disingkir tetapi beliau tidak mahu diperalatkan sebegitu rupa dalam rancangan jahat itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2019.

SKANDAL video seks dikaitkan dengan Azmin Ali ditangani secara politik kerana penyebarannya bermotif politik untuk menjatuhkan menteri berkenaan, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata, dalang di sebalik skandal itu mahu Azmin disingkir tetapi beliau tidak mahu diperalatkan sebegitu rupa dalam rancangan jahat itu.

“Video ini dibuat dan ditular jelas untuk tujuan politik. Khusus untuk menghalang kejayaan politik individu tertentu.

“Tindakan yang diharap menyusul tayangan ini ialah penyingkiran individu yang disasar. Tindakan ini boleh diambil oleh saya kerana saya berkuasa.

“Apabila saya ambil tindakan ini maka berjayalah pihak yang merancang perbuatan jahat ini,” katanya dalam kenyataan di blog chedet.cc.

Walau tidak dinamakan, “individu yang disasar” itu jelas merujuk kepada timbalan presiden PKR tersebut yang berulang kali menyatakan skandal video berkenaan dilancarkan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Dr Mahathir seterusnya menegaskan beliau tidak mahu diperalatkan sebegitu rupa dalam rancangan jahat ke atas menteri hal ehwal ekonomi berkenaan.

“Agama saya melarang sengaja mengintip mencari keburukan orang. Apa yang dilakukan lebih buruk dari mengintip.

“Saya tidak sanggup diperalatkan. Jauh sekali oleh perancang yang berniat jahat dan mengguna politik kotor,” jelasnya.

Tegasnya penyebaran video seks itu bukanlah tidak melibatkan isu moral tetapi hanya politik semata-mata.

“Ini bukan soal moral. Ini adalah masalah politik. Ia akan ditangani sebagai isu politik,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas PKR menyatakan sokongan padu kepada presiden parti Anwar Ibrahim dalam pemukiman parti hujung minggu lalu.

Dalam ucapan di pemukiman tersebut Dr Mahathir telahpun mengingatkan agar pemimpin PH tidak bertelagah sesama sendiri kerana ia boleh  menyebabkan PH hilang kuasa.

Pemukiman tersebut tidak dihadiri Azmin yang kemudiannya muncul dengan kenyataan bahawa beliau mengetahui identiti dalang di sebalik penyebaran skandal tersebut.

Azmin bagaimanapun tidak menamakan dalang tersebut tetapi antara lain menyatakan individu berkenaan merupakan orang yang pernah ditaatinya.

Skandal itu kini berlarutan lebih sebulan selepas beberapa video seks disebarkan di media sosial oleh individu tidak dikenali Mei lalu.

Bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz membuat pengakuan beliau salah seorang lelaki dalam rakaman itu dan mendakwa Azmin adalah pasangannya.

Azmin menafikan tuduhan dan menyifatkannya sebagai serangan bagi menjahanamkan masa depan politiknya.

Haziq merupakan antara 11 orang individu yang kini direman bagi siasatan kes video tersebut. Turut ditahan adalah setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador. – 23 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen