Dr Mahathir ingatkan pemimpin PKR jangan bertelagah sesama sendiri


Zaim Ibrahim

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad (kanan) berbual bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim pada pemukiman PKR, di Port Dickson malam ini. Dr Mahathir mengingatkan pemimpin PKR supaya tidak bertelagah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 Julai, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mengingatkan pemimpin PKR agar tidak bertelagah sesama sendiri kerana ia boleh menyebabkan Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa.

Beliau yang juga pengerusi PH berkata mandat yang rakyat berikan kepada mereka adalah untuk membaiki Malaysia, selepas enam dekad ditadbir Barisan Nasional (BN), dan bukannya untuk perkara yang lain.

“Kuasa yang diamanahkan oleh rakyat kepada kita adalah memperbaiki apa yang telah rosak dan memperbetulkan apa yang salah.

“Kita juga perlu tanya kepada diri kita, apakah akan terus mendapat mandat rakyat jika mereka melihat kita berterusan bertelagah kerana berebut kuasa… tanpa sedar, kerana kita berebut-berebut itulah akan hilang kuasa,” katanya, ketika berucap merasmikan pemukiman PKR, di Port Dickson, malam ini.

Tambah Dr Mahathir, parti komponen PH perlu kekal fokus membangunkan negara kerana tugas gabungan itu bukan sekadar memenangi pilihan raya semata-mata.

“Kepada semua ahli dan pemimpin parti komponen PH - Keadilan,Bersatu, DAP dan Amanah - kita perlu bertekad untuk bekerja semampu yang boleh untuk memajukan negara dan memudahkan hidup rakyat. 

“Ini satu amanah dan apabila kita tiada kuasa atau berhenti memegang kuasa, ukuran rakyat adalah sama ada kita telah melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang telah mereka serah kepada kita,” jelas perdana menteri.

Presiden PKR Anwar Ibrahim turut berkata negara kini memerlukan PH untuk mengemudi pentadbiran negara.

“Negara ini memerlukan PKR, Bersatu, DAP dan Amanah yang kuat. Persefahaman kita sangat penting. Saya tahu yang kita tidak boleh pertikai Tun tapi boleh bincang secara dasar,” katanya yang berucap sebelum Dr Mahathir.

Minggu lepas, Anwar dan timbalannya, Mohamed Azmin Ali saling membalas kenyataan ketika disoal media di Parlimen.

Anwar mencadangkan Azmin meletak jawatan jika didapati beliau adalah pelaku dalam video tersebut manakala Azmin meminta beliau untuk melihat cermin dahulu.

Lima minggu lalu, beberapa klip rakaman dua lelaki melakukan hubungan intim disebarkan oleh individu tidak dikenali melalui beberapa kumpulan sembang di WhatsApp.

Bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz membuat pengakuan beliau salah seorang lelaki dalam rakaman itu dan mendakwa Azmin adalah pasangannya.

Azmin menafikan tuduhan dan menyifatkannya sebagai serangan bagi menjahanamkan masa depan politiknya.

Semalam, 28 pemimpin PKR yang membuat kenyataan bersama bersama dan menggesa Anwar berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan yang memecah belah kesatuan parti. – 19 Julai, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen