.jpg)
KETIKA menjawab soalan wartawan di Parlimen semalam, Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali harus meletakkan jawatan sekiranya kesahihan video seks yang menjadi persoalan dibuktikan.
Kami tegas berpendirian bahawa kenyataan tersebut tidak berasas kerana hanya berdasarkan spekulasi semata-mata.
Presiden sewajarnya memberikan kepimpinan yang jelas terhadap persoalan utama untuk membanteras komplot politik jahat bagi menjatuhkan Azmin.
Beliau juga harus fokus kepada perlakuan jenayah konspirator yang telah secara terancang menularkan video seks yang jijik dengan niat jahat.
Kita hairan kerana ketika video fitnah ini ditularkan, beliau telah mengeluarkan pandangan yang berbeza dengan mengatakan bahawa Azmin tidak perlu melepaskan jawatannya.
Justeru berdasarkan penafian tegas Azmin berkaitan hal ini, presiden sewajarnya mempertahankan timbalan presiden demi memelihara muafakat utuh PKR dan tidak sama sekali cuba menggasir kedudukan timbalan presiden dalam kerajaan tanpa sebarang asas yang kukuh.
Presiden wajar menyorot kembali asas perjuangan reformasi di mana seluruh kepimpinan dan ahli PKR berdiri teguh mempertahankan beliau dari fitnah jahat yang menggunakan fitnah dan video seks sebagai alat politik biarpun pada tahun 2011, ketika itu ketua polis negara mengumumkan bahawa video seks tersebut adalah tulen.
Azmin secara konsisten telah mempertahankan beliau dan keluarganya selama lebih 20 tahun daripada semua tuduhan “gutter politics.”
Maka, kami ingin menegaskan bahawa PKR wajib berdiri teguh dan konsisten menentang politik kotor yang digunakan dalam komplot untuk menjatuhkan timbalan presiden.
Kami akan bersama Azmin dan mana-mana pimpinan lain sekiranya mereka diserang dengan cara yang tidak bermoral seperti ini.
Kami menggesa Anwar selaku presiden PKR untuk berhenti dari mengeluarkan sebarang kenyataan yang memecah belah kesatuan parti. Kami menyeru presiden untuk segera menggembeling perpaduan ahli demi keutuhan PKR, Pakatan Harapan dan negara yang tercinta ini.
Kenyataan dibuat oleh:
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen