Saya tak pertahankan Azmin, kata PM


Ragananthini Vethasalam

Saya tidak mempertahankan Azmin Ali tetapi saya tidak mahu jadi alat dalang video seks untuk mencapai matlamat mereka, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 23 Julai, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak mempertahankan Azmin Ali, tetapi menentang penggunaan politik kotor dalang skandal video seks itu yang cuba menjadikannya “alat”. 

“Saya tak pertahankan dia. Saya kata politik kotor sebegini tidak akan menjerat saya untuk jadi sebahagian daripadanya,” katanya kepada wartawan selepas majlis Strategi Nasional untuk Kecelikan Kewangan 2019-2023 di Kuala Lumpur hari ini.

“Jelas sekali ada orang cuba gunakan saya untuk capai matlamat mereka. Video yang anda lihat bukan video biasa yang pernah anda lihat sebelum ini.

“Ia memang direka dengan tujuan mencapai matlamat jahat untuk menghalang seseorang maju dalam politik.

“Ini dirancang dan saya tidak akan jadi ejen dalam memastikan rancangan itu berjaya,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, menerusi blognya, Dr Mahathir menulis jika beliau menyingkirkan Azmin daripada Kabinet, dalang skandal itu akan “menang”.

Azmin dikaitkan dengan video itu susulan pengakuan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR menafikan tuduhan itu.

Ketulenan video itu sudah disahkan polis, walaupun mereka tidak dapat mengaitkannya dengan identiti individu tertentu.

Polis juga percaya dalang video itu adalah “pemimpin parti politik”.

Siasatan masih berjalan. – 23 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen