Anwar kecewa, sudah jangka Azmin tidak hadir pemukiman PKR


Zaim Ibrahim

Anwar Ibrahim, yang tidak menyembunyikan rasa kecewa berkata, hairan kenapa Azmin tidak juga datang walaupun beliau sendiri sudah "membuat kenyataan yang baik" mengenai timbalannya itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Julai, 2019.

PRESIDEN PKR ANWAR Ibrahim berkata beliau sudah menjangkakan timbalannya Mohamed Azmin Ali tidak akan hadir ke permukiman PKR, yang berlangsung di Port Dickson hujung minggu ini.

Azmin tidak hadir pada malam ini walaupun dijadual menyampaikan ucapan sebagai timbalan presiden PKR.

Anwar, yang tidak menyembunyikan rasa kecewa berkata, hairan kenapa Azmin tidak juga datang walaupun beliau sendiri sudah “membuat kenyataan yang baik” mengenai timbalannya itu.

“Kita dah bincang… sudahlah. Buat kenyataan yang baik… cukuplah, dah bagus.

“Memang dijangka (Azmin tidak datang). 

“Kita dah buat kenyataan dah baik, dah bagus… nak ajak gaduh, apa bendalah,” katanya kepada wartawan, menjawab soalan tentang ketidakhadiran Azmin untuk menyampaikan ucapannya dalam program temu rapat PKR di Port Dickson, malam ini.

Azmin juga tidak datang semasa perasmian program oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad yang juga perdana menteri, pada malam semalam.

Pada sebelah pagi, Anwar membuat kenyataan menyambut baik pengumuman pihak polis bahawa “identiti pelaku” dalam rakaman seks, yang dituduh dikaitkan dengan Azmin, tidak dapat dikenal pasti.

Anwar bagaimanapun menegaskan PKR akan bertindak tegas terhadap mana-mana ahli parti yang terlibat menyebarkan rakaman berkenaan.

Anwar bagaimanapun menegaskan PKR akan bertindak tegas terhadap mana-mana ahli parti yang terlibat menyebarkan rakaman berkenaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Julai, 2019.

Anwar merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang mengesahkan siasatan polis mendapati rakaman seks yang tersebar adalah tulen tetapi sukar untuk mengaitkannya dengan mana-mana individu seperti didakwa.

Hamid juga berkata siasatan polis mendapati ada pakatan jahat yang didalangi pemimpin sebuah parti politik untuk menjatuhkan seseorang.

Azmin kemudian membalas kenyataan Anwar itu melalui Twitter.

“Saya juga mengambil maklum ketetapan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pimpinan dan anggota parti yang terlibat dalam sebaran video ini. 

“Ini selari dengan ketegasan saya dari awal bahawa politik kotor dalaman parti mesti diperangi habis habisan,” kata Azmin.

Beberapa klip rakaman yang menunjukkan dua lelaki berhubungan intim tersebar sejak 11 Jun lalu, yang kemudian dikaitkan dengan Azmin.

Seorang ahli PKR, Haziq Abdullah Abdul Aziz kemudian membuat pengakuan beliaulah lelaki dalam rakaman itu dan menuduh Azmin pasangannya.

Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, berkali-kali keras menafikan tuduhan dan menyifatkannya sebagai perancangan jahat untuk memusnahkan masa depan politiknya.

Polis awal minggu ini menahan Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang juga setiausaha politik kepada Anwar.

Minggu ini juga, keadaan menjadi keruh antara dua pemimpin kanan PKR itu selepas Anwar membuat kenyataan Azmin perlu letak jawatan jika tuduhan terhadapnya terbukti betul.

Azmin yang mempertahankan Anwar selama beliau berdepan dengan pelbagai tuduhan sejak 20 tahun lalu kemudian membalas kenyataan ketuanya itu dengan sinis.

“Suruh Anwar muhasabah, tengok cermin muka dia dahulu,” katanya.

Azmin juga tidak datang semasa perasmian program oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad yang juga perdana menteri, pada malam semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2019.

Malam ini, Azmin dijadual memberi ucapan selama 15 minit, selepas semua naib presiden PKR bergilir menyampaikan ucapan masing-masing bermula pukul 9 malam tadi.

Bagaimanapun awal malam ini, setiausaha politiknya Hilman Idham mengesahkan Azmin tidak hadir namun enggan memberitahu sebabnya.

Selain Azmin, dua naib presiden PKR juga dilihat tidak hadir pada malam ini, iaitu Zuraida Kamaruddin dan Ali Biju, sama seperti pada malam perasmian sebelumnya.

Ketika ditanya tentang Zuraida, Anwar sekadar berkata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu ada alasan sendiri.

“Zuraida sebab ada Hari Bomba,” jawab Anwar ringkas.

Awal hari ini, Zuraida berkata mereka yang tidak hadir dalam pemukiman PKR itu tidak berpakat memulau acara parti sebaliknya ketidakhadiran mereka hanyalah kebetulan. 

The Malaysian Insight juga difahamkan Ali Biju tidak hadir kerana ibunya sakit. – 20 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen