RAKAMAN seks dua lelaki yang tersebar lebih sebulan lalu hampir pasti tulen tetapi sukar untuk mengaitkannya dengan mana-mana individu seperti didakwa, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Katanya, hasil analisis CyberSecurity Malaysia ke atas rakaman itu mengesahkan video itu hampir pasti tulen.
“Polis Di-Raja Malaysia telah menerima hasil analisis dari pihak CyberSecurity Malaysia ke atas video yang dimaksudkan di mana disahkan bahawa kebarangkalian video tersebut tulen adalah tinggi.
“Hasil proses pengecaman wajah adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaki di dalam video tersebut dengan individu yang dimaksudkan,” kata Hamid dalam satu kenyataan media hari ini.
Hamid juga berkata siasatan polis mendedahkan wujud pakatan jahat yang didalangi seorang pemimpin sebuah parti politik bertujuan mengaib dan menjatuhkan reputasi individu tertentu.
“Video yang disebarkan dengan tujuan membangkitkan kegusaran masyarakat tersebut telah dihasilkan oleh pihak yang diupah dengan ratusan ribu ringgit,” katanya.
Lebih sebulan lalu, klip rakaman dua lelaki melakukan hubungan intim disebarkan oleh pihak yang tidak dikenali melalui WhatsApp.
Selang sehari kemudian, Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz membuat pengakuan beliau adalah lelaki dalam rakaman berkenaan dan mendakwa pasangannya ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.
Dalam pengakuannya, Haziq turut menggesa agensi anti rasuah menyiasat Azmin atas salah laku rasuah.
Azmin menafikan tuduhan dan menyifatkannya perancangan jahat untuk memusnahkan masa depan politiknya.
PKR dan Pakatan Harapan juga mengambil pendirian yang sama mengecam politik kotor untuk menjatuhkan pemimpin.
Polis minggu ini menahan sembilan individu termasuk Haziq, yang ditahan untuk kali kedua dalam tempoh lima minggu ini berhubung penyebaran rakaman seks itu.
Polis juga menahan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak untuk siasatan dan direman sehingga Ahad ini. Farhash adalah juga setiausaha politik kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim. – 18 Julai, 2019
Komen