Azmin Ali tidak hadir berucap di pemukiman PKR


Zaim Ibrahim

Azmin Ali juga tidak hadir pada majlis perasmian program malam semalam yang disempurnakan oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad yang juga perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2019.

MOHAMED Azmin Ali tidak hadir untuk menyampaikan ucapan sebagai timbalan presiden PKR dalam program pemukiman parti di Port Dickson, Negeri Sembilan, malam ini.

Setiausaha politiknya Hilman Idham mengesahkan Azmin tidak hadir namun enggan memberitahu sebabnya.

“Tidak hadir,” jawab Hilman ringkas kepada The Malaysian Insight, ketika ditanya adakah Azmin hadir atau tidak ke malam kedua program temu rapat parti itu.

Hilman bagaimanapun tidak memberi maklum balas ketika ditanya lebih lanjut alasan Azmin tidak hadir.

Azmin juga tidak hadir pada majlis perasmian program malam semalam yang disempurnakan oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad yang juga perdana menteri.

Malam ini, Azmin dijadual menyampaikan ucapan selepas semua naib presiden PKR bergilir menyampaikan ucapan yang bermula sekitar jam 9 malam tadi.

Dua naib presiden PKR juga dilihat tidak hadir pada malam ini, iaitu Zuraida Kamaruddin dan Ali Biju. 

Di majlis perasmian malam semalam kedua-dua pemimpin PKR itu juga dilihat tidak hadir dengan alasan tersendiri.

Awal hari ini, Zuraida berkata mereka yang tidak hadir dalam pemukiman PKR itu tidak berpakat memulaukan acara parti sebaliknya ia hanyalah kebetulan. 

Katanya, beliau sendiri tidak hadir malam tadi kerana sibuk membuat persiapan untuk sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019 di Kuala Lumpur, yang berlangsung hari ini.

Pada sesi sebelah pagi, Ketua Wanita PKR Haniza Talha juga tidak hadir untuk berucap kerana menghadiri program lain untuk kawasan DUN Lembah Jaya yang sudah diatur lebih awal.

The Malaysian Insight difahamkan Ali Biju, yang juga merupakan ahli Parlimen Saratok tidak hadir kerana ibunya sakit.

Nurul Izzah Anwar yang mengumumkan letak jawatan pada Disember 2018 masih disenaraikan sebagai naib presiden dan beliau hadir untuk berucap pada malam ini.

Naib presiden lain yang hadir berucap termasuklah Tian Chua, Dr Xavier Kumar, Rafizi Ramli, dan Chang Lih Kang. – 20 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen