PEMIMPIN kanan PKR bukannya berpakat untuk tidak hadir ke majlis perasmian pemukiman pimpinan parti di Port Dickson, Negeri Sembilan, malam tadi, kata Naib Presiden Zuraida Kamaruddin.
Katanya, beliau sendiri tidak hadir malam tadi kerana sibuk membuat persiapan untuk sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019 di Kuala Lumpur, yang berlangsung hari ini.
“Saya sibuk dengan persediaan hari sambutan anggota bomba sedunia. selepas ini saya akan ke Surabaya (esok).
“Saya tidak tahu (pemimpin-pemimpin lain tidak datang). Mungkin kebetulan. Mereka mungkin ada alasan tersendiri.
“Saya juga ada alasan sendiri seperti program pada hari ini,” katanya, seperti dipetik Utusan Online.
Hari ini, Ketua Wanita PKR Haniza Talha antara yang tidak hadir untuk berucap kerana menghadiri program lain untuk kawasan DUN Lembah Jaya yang diwakilinya, yang sudah diatur lebih awal.
Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan semua naib presiden dijadual berucap pada malam nanti.
Azmin dan setiausaha politiknya, Hilman Idham yang juga timbalan ketua pemuda, bagaimanapun tidak hadir perasmian malam tadi dan tidak juga kelihatan sepanjang program hari ini, setakat berita ini ditulis.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, yang juga Pengerusi PKR Selangor, tidak hadir kerana bercuti sakit dua hari.
Seorang lagi naib presiden PKR, Tian Chua juga berkata hanya kebetulan apabila beberapa pemimpin tidak hadir malam tadi.
“Ada yang hanya akan hadir sebahagian program – tiada usaha berpakat untuk tidak hadir pemukiman,” katanya dipetik The Star.
Beliau juga dipetik berkata program pemukiman ini dilontarkan ideanya tiga bulan lalu oleh pucuk pimpinan untuk menyelesaikan perselisihan faham dalam parti.
PKR tercampak ke dalam krisis selepas pemilihan parti tahun lalu menunjukkan dengan jelas garis antara timbalan presiden Mohamed Azmin Ali dan pencabarnya Rafizi Ramli, yang didakwa didukung oleh Anwar Ibrahim.
Rafizi yang kalah pemilihan timbalan presiden kemudian dilantik sebagai naib presiden.
Namun perselisihan semasa pemilihan itu, yang juga berasal dari konflik dalaman bertahun-tahun sebelum ini, kemudiannya berlarutan sehingga sekarang – enam bulan selepas pemilihan selesai.
Pertelagahan itu muncul lagi apabila Azmin dituduh terlibat dalam skandal seks selepas rakaman hubungan intim dua lelaki tersebar sejak lebih sebulan lalu.
Siasatan polis setakat ini mendedahkan penyebaran rakaman seks itu bermotifkan politik, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Hari ini, Hamid membayangkan rasa kesalnya apabila polis diheret ke dalam krisis dalaman parti sehingga membuang masa dan tenaga pasukan berkuasa itu ke atas isu-isu lain. – 20 Julai, 2019.
Komen